Hanya mereka yang berfikiran dangkal dan tidak tahu tentang sejarah kewujudan pertubuhan Hamas, perjuangan Palestin dan kewujudan kumpulan pemberontak Tamil Eelam (LTTE) akan berfikiran bahawa kedua-dua organisasi ini adalah satu perkara yang sama.

Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr Azharudin Mohamed Dali, asas perjuangan kedua-duanya adalah jauh berbeza.

“Berdasarkan sejarah, kita tengok perjuangan Hamas adalah untuk rakyat Palestin yang mana tanah airnya telah dirampas.

“LTTE pula menuntut kemerdekaan daripada sebuah negara yang telahpun merdeka. Jadi tidak wujud persamaan di antara Hamas dan LTTE.

"Walaupun kedua-dua organisasi itu menggunakan pendekatan militan, LTTE dilihat lebih ganas berbanding mana-mana organisasi yang 'dicop' sebagai militan,” kata Azharudin ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Jumaat.


Dr Azharudin turut menegaskan mana-mana individu mahupun pihak yang menyokong organisasi haram seperti LTTE, yang membawa kemudaratan kepada keselamatan negara sewajarnya dikenakan tindakan.

“Semua yang secara terang-terangan menunjukkan simpati ataupun menunjukkan sokongan dalam keadaan tertentu, maka pihak itu perlu diambil tindakan oleh pihak berkuasa,” jelasnya.

BACA: LTTE antara kumpulan pemberontak paling ganas - Pakar Keselamatan

BACA: Tangkapan LTTE: Jangan cabar polis, kita akan ambil tindakan jika cukup bukti - Ayob Khan

BACA: Jangan kaitkan isu penahanan dua ADUN DAP dengan perkauman - Ayob Khan


Selain daripada LTTE, Malaysia juga berdepan dengan beberapa ancaman lain dari Selatan India, katanya.

“Selama ini kita hanya mendengar Jemaah Islamiyah (JI) dan sebagainya, yang disahkan sebagai haram tetapi dalam masa sama kita dapati ada banyak lagi organisasi yang terlibat sama.

“Antaranya ialah Khalistan Tiger Force, dan kita pernah menangkap ahli Khalistan ini. Jadi semua organisasi yang disahkan sebagai haram, perlu diambil tindakan," tambahnya.

Mengambil maklum seperti yang dikatakan oleh sidang akhbar polis semalam, Dr Azharuddin menyatakan bahawa pihak polis tidak boleh pilih kasih dalam hal untuk menjaga keselamatan negara sama ada ia melibatkan ahli politik, ahli akademik atau sesiapa sahaja.

Bagi mengawal dan membendung pengaruh lebih besar terhadap golongan yang menyokong pemberontak LTTE di negara ini, beliau menjelaskan bahawa pihak polis terutamanya dari unit khas perlu memainkan peranan penting.

“Jangan setelah kejadian itu berlaku baharu tindakan hendak diambil,” katanya.

Dr Azharudin mengulas pandangan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang mengatakan tindakan kumpulan pemberontak LTTE mempunyai persamaan dengan pejuangan kumpulan Hamas untuk rakyat Palestin.

Pada Khamis polis mengesahkan tujuh individu termasuk dua Adun DAP ditahan kerana ada usaha untuk menghidupkan balik pemberontakan Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Malaysia, selepas kumpulan pengganas itu terkubur susulan kematian pengasasnya dalam operasi ketenteraan kerajaan Sri Lanka 10 tahun lalu.