Pemberontak Tamil Eelam (LTTE) merupakan antara kumpulan pemberontak paling ganas di dunia, dengan misinya antara lain adalah mewujudkan negeri Tamil berasingan di utara dan timur Sri Lanka.

Kumpulan itu mendapat perhatian golongan muda Tamil yang kebanyakannya kecewa dengan dasar kerajaan Sri Lanka.

Menurut Pakar Keselamatan Strategik dari UniMap, Prof Madya Dr Mizan Aslan, perkara itu disahkan agensi keselamatan yang terbesar dunia seperti Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Siasatan Persekutuan (CIA) Amerika Syarikat.

Jelasnya, walaupun pemberontak LTTE ini tidak dikenali ramai, tetapi kumpulan sangat sistematik dan tersusun dalam bidang risikan.

“Kita harus fahami terrorism dan radicalism ini tidak semestinya berkait dengan Islam dan ramai yang masih keliru tentang aspek ini. Sebenarnya pengganas ini merentasi agama, etnik dan negara sempadan.

“Jika mengikut siaran yang dikeluarkan FBI dan CIA serta Interpol, kumpulan pemberontak paling ganas daripada semua pengganas adalah LTTE.

“Masih tiada gambaran jelas mengenai LTTE oleh semua rakyat Malaysia tetapi LTTE merupakan satu kumpulan sangat bahaya dan merupakan ancaman besar (kepada keselamatan negara),” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.



Dalam pada itu, Dr Mizan turut menjelaskan LTTE ini merupakan sebuah kumpulan pemberontak yang sangat sistematik.

“Mereka merupakan kumpulan pertama yang menjalankan modus operandi letupkan diri.

“Mereka juga merupakan sebuan kumpulan pemberontak yang menggunakan kanak-kanak dan wanita untuk menjalankan operasi mereka di seluruh India, Pakistan dan Sri Lanka.

“Ini kerana kanak-kanak dan wanita merupakan sasaran ampuh dan tidak menjadi subjek untuk disiasat dan disekat oleh pihak keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Dr Mizan turut menjelaskan Malaysia menjadi sasaran mudah badan pemberontak LTTE ini mengembangkan perjuangan mereka.

Ini kerana terdapat beberapa ahli politik yang menerima ideologi mereka selain keadaan ekonomi yang stabil di negara ini.

“Salah satu sebab mengapa mereka memilih Malaysia untuk mengembangkan perjuangan mereka selain negara maju lain seperti England, Amerika Syarikat dan Kanada adalah kerana ekonomi Malaysia yang stabil.

“Ia memudahkan pungutan dana buat perjuangan mereka. Selain itu, sikap beberapa ahli politik yang menerima ideologi mereka serta memberi perlindungan kepada kumpulan ini.

“Ini adalah sebab kumpulan ini berkembang di negara ini dan meraih sokongan sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja,” ujarnya.


BACA: Exco Melaka disyaki terlibat LTTE ditahan

BACA: ADUN Negeri Sembilan ditahan anggota polis Bukit Aman di bawah SOSMA