Himpunan Rakyat Bersatu atau Himpunan Maruah Melayu yang akan diadakan pada 16 September ini mahu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikembalikan sebagai langkah menjamin keselamatan negara.

Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos berkata, ia sekali gus dapat membantu Kerajaan memastikan tahap keamanan serta ketenteraman negara berada dalam keadaan yang sentiasa harmoni.

"Kita juga mahu memupuk dan menzahirkan semangat patriotik serta cintakan negara dalam jati diri rakyat negara ini demi menuju ke arah satu perpaduan nasional yang mantap.

"Selain itu kita mahu mendesak Kerajaan supaya bertindak tegas kepada pengkhianat negara yang memfitnah serta mempertikaikan kredibiliti pemerintah selain mahu menjatuhkan pentadbiran yang dipilih oleh rakyat secara sah melalui sistem pilihan raya," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Pada 15 September 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Najib dalam pada itu turut mengumumkan pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Menurutnya, dua undang-undang baharu yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah supaya ketenteraman dan keselamatan awam sentiasa terpelihara.

Sebelum ini Jamal memberitahu, perhimpunan yang dijadualkan pada 16 September ini diteruskan meskipun permit daripada pihak berkuasa masih belum diperoleh.

Tegasnya, tidak ada sebab untuk mana-mana pihak menggagalkan perhimpunan itu dengan apa cara sekalipun.

Dalam pada itu ujarnya, ia merupakan perhimpunan bagi menunjukkan solidariti mendokong teras dan keadilan sosial seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Ia menjadi platform untuk menzahirkan amaran keras kepada bangsa Cina berideologi DAP supaya jangan menghina pemimpin Melayu dan menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan.

"Selain itu kita mahu mendesak Kerajaan melaksanakan sekolah satu aliran tanpa kompromi untuk memupuk perpaduan dan toleransi ke arah pembentukan bangsa Malaysia.

"Perhimpunan itu juga adalah satu tuntutan kepada Kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar seperti yang telah dijamin oleh Perlembagaan khususnya dalam perkara-perkara yang bersangkutan dengan pembelaan dan hak keistimewaan Melayu serta Bumiputra, selain itu kita juga mahu memastikan tiada lagi perhimpunan seperti Bersih di masa-masa akan datang," katanya.