Perhimpunan Padang Merbok yang dijadualkan pada 16 September ini diteruskan meskipun permit daripada pihak berkuasa masih belum diperolehi.

Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Jamal Md Yunus berkata, tidak ada sebab untuk mana-mana pihak menggagalkan perhimpunan itu dengan apa cara sekalipun.

"Kami bersama bersama 250 NGO Melayu hanya mahu mengadakan perhimpunan aman seperti yang dibenarkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 dan bukan bertujuan mengganggu gugat ketenteraman awam.

"Kenapa orang Melayu tidak boleh berhimpun? Kenapa apabila pihak (pembangkang) buat, dihalalkan dengan menggunakan apa juga cara?" soalnya semasa sidang media selepas mesyuarat bersama wakil-wakil NGO Melayu di sini hari ini.

Pada majlis yang sama, Jamal, yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar memaklumkan bahawa Persekutuan Seni Silat Kebangsaan (Pesaka) akan menjadi penganjur kepada Perhimpunan Padang Merbok itu.

Perhimpunan tersebut dijadual bermula pada pukul 3 petang di mana peserta akan berkumpul di beberapa 'check point' termasuk di sekitar Bukit Bintang sebelum berjalan ke lokasi perhimpunan.

Sebelum ini, Jamal dilaporkan berkata, sekulasi pembatalan perhimpunan yang membabitkan penyertaan sekurang-kurangnya 300,000 orang pada 16 September adalah tidak benar semata-mata.

Tegasnya, perhimpunan aman itu tetap akan diadakan walaupun terdapat pelbagai halangan termasuk tidak mendapat kebenaran polis.

Pada Rabu, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, UMNO tidak pernah terlibat dalam penajaan atau sebarang perkara melibatkan perhimpunan yang dijadualkan pada 16 September ini.

Bagaimanapun katanya, ada beberapa pemimpin parti yang terlibat kerana menjadi wakil di dalam badan bukan kerajaan (NGO) yang menyatakan kesediaan untuk menyertai perhimpunan tersebut.

Dalam pada itu ketika ditanya motif diadakan Perhimpunan Padang Merbok, ini kata Jamal;

"16 September ini Hari Malaysia, jadi apa salahnya kami berhimpun? Kami sudah nekad akan memakai baju merah pada hari itu dan berkumpul di Bukit Bintang dan Jalan Petaling menuju Padang Merbok. Soal polis bagi tak bagi itu kerja mereka.

"Penganjur sudah memohon permit daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) namun masih belum mendapat maklum balas. Ia bukan perhimpunan untuk merusuh dan semua peniaga boleh menjalankan perniagaan seperti biasa."

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu akan memanggil penganjur perhimpunan tersebut dalam satu perjumpaan dengan polis.

Tegas Khalid, pihaknya juga tidak akan membenarkan perhimpunan itu berlangsung dan akan mengarahkan ketua polis Kuala Lumpur bertemu pihak penganjur bagi menghalang mereka meneruskan rancangan berhimpun di jalanan pada 16 September.