'Home schooling' satu pilihan untuk ibu bapa

'Home schooling' satu pilihan untuk ibu bapa
Ibu bapa perlu buat pilihan yang sesuai dan seleasa untuk perkembangan akademik dan kendiri anak-anak. -Gambar hiasan/Pixabay
KUALA LUMPUR: Bukan tidak mempercayai sistem pendidikan negara, sebaliknya keputusan memberi pendidikan secara homeschool adalah kerana bertitik tolak dari kesesuaian situasi mereka.

Itu yang diluahkan seorang bapa, Mohd Ridzuan Abdul Ghani, yang berpengalaman hampir 12 tahun dengan sistem pendidikan home schooling.

Mohd Ridzuan yang merupakan seorang tenaga pengajar di ICS Learning Resources, lebih selesa memilih kaedah ini buat lima orang anaknya, namun dalam masa yang sama terbuka jika ada antara anak-anaknya memilih mahu ke sekolah.
"Kami sendiri memilih untuk homeschool kerana ia pilihan yang lebih sesuai memandangkan kerjaya kami yang memerlukan kami selalu ke luar negeri. Walaupun ibu bapa kami ada menawarkan untuk menjaga anak-anak dan beri mereka sekolah seperti biasa, tapi kami pilih untuk buat cara kami sendiri.

BACA: Home schooling 101: Apa dan bagaimana?

"Kami pilih homeschool sebab kami mahu melengkapkan anak kami dengan perkara yang sama yang terkandung dalam visi falsafah pendidikan kebangsaan iaitu melahirkan generasi yang mempunyai keseimbangan jasmani, emosi, intelek dan spiritual.

"Apa yang penting adalah memastikan keempat-empat aspek ini dipenuhi," katanya yang memilih untuk mengajar sendiri anak-anak.

Dia juga menafikan pendapat homeschool akan menyebabkan skil sosial kanak-kanak terencat, sebaliknya percaya pendedahan kepada pelbagai jenis skil bersifat menyeluruh, dan tidak terhad kepada pergaulan sesama rakan sebaya sahaja.

"Kami nampak potensi untuk dia bergaul dengan orang-orang dari pelbagai peringkat usia dan situasi. Memandangkan kami banyak kerja di luar jadi pergaulan mereka lebih luas.

"Yang orang selalu nampak, homeschool akan membataskan pergaulan, tetapi tidak begitu sebenarnya," katanya yang turut menyarankan agar ibu bapa agar mengambil inisiatif sendiri dalam membina skil komunikasi serta sosial anak-anak jika memilih cara pendidikan homeschool.

Apa yang lebih penting, kata Ridzuan, ibu bapa perlu membuat pilihan yang bersesuaian dan selesa serta memastikan pembangunan akademik dan kendiri yang selari dalam kalangan anak-anak.