KUALA LUMPUR : Pihak Pengurusan Hospital Sungai Buloh (HSgB) menarik balik memo larangan menggunakan khidmat penghantaran makanan atas talian bagi kakitangan dan pesakit di hospital berkenaan.

Pengarah HSgB, Dr. Kuldip Kaur Prem Singh menjelaskan, penarikan memo bertarikh 9 Ogos 2022 itu berkuat kuasa serta-merta.

"Pihak Pengurusan Hospital Sungai Buloh  ingin memaklumkan dengan lebih lanjut berkenaan memo dalaman hospital ini bertajuk “Larangan menggunakan khidmat penghantaran makanan atas talian bagi kakitangan dan pesakit di Hospital Sungai Buloh” bertarikh 9 Ogos 2022 yang telah tular di media sosial sejak 10 Ogos 2022.

"Adalah dimaklumkan bahawa, pihak Pengurusan HSgB dengan ini menarik balik semua larangan yang ditetapkan dalam memo bertarikh 9 Ogos 2022 berkenaan, berkuat kuasa serta-merta," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini memo 'dalaman' itu tular di media sosial dan mendapat kritikan pengguna media sosial termasuk Ahli Parlimen Kuching, Kelvin Yii.

Memo itu antara lain menyebut, larangan kepada kakitangan dan pesakit untuk menggunakan khidmat penghantaran atas talian dikuatkuasa berikutan aduan peningkatan kuantiti sisa makanan dan sampah sarap yang tidak terurus selain gangguan makhluk perosak yang menjejaskan kebersihan wad.

Dalam masa sama, memo itu turut mengingatkan pihak kafeteria mempertingkatkan perkhidmatan serta penyediaan makanan kepada warga kerja dan orang awam dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan dan permintaan.