Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini dilihat tersepit untuk menyatakan pendiriannya tentang pelaksanaan hudud oleh kerajaan PAS Kelantan.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Najib berada di persimpangan untuk memberi sokongan kepada hudud atau berhadapan risiko kehilangan parti komponen di dalam Barisan Nasional (BN).

"Najib tidak senang duduk sekarang, dia bimbang rakan parti akan mengambil jalan meninggalkan BN dan menyebabkan UMNO tewas.

"Kenapa tidak buat pendirian? Mana penegasan Najib sebagai Perdana Menteri? Kenapa takut hendak nyatakan masalah dalaman yang sedang melanda BN?" katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mahfuz mengulas kenyataan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang memaklumkan BN akan mengumumkan pendirian parti itu berhubung pelaksanaan hukum hudud di Kelantan selewat-lewatnya Selasa.

Kata Mahfuz, Najib juga sudah terlewat beberapa hari dari perjanjian asalnya dan ia sekali gus menyebabkan rakyat tertanya-tanya pendiriannya terhadap isu berkenaan.

Pada Jumaat,Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, PAS perlu memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen untuk menukar perlembagaan bagi memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah membicarakan kes jenayah untuk pelaksanaan hukum hudud.

Jelasnya, jenayah membunuh, merogol dan mencuri adalah di bawah Mahkamah Sivil dan ia tidak boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengingatkan MCA agar tidak mengugut UMNO dan sengaja hendak panaskan keadaan dalam isu hudud.

Tegasnya, hukum hudud hanya libatkan orang Islam sahaja selain menyatakan UMNO tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk tekanan.

Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel pula dilaporkan membuat pendirian untuk tidak menyokong usul PAS membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi membuka jalan terhadap pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Tegas Palanivel, rang undang-undang hudud itu disifatkan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.