Badan pemantau hak asasi manusia antarabangsa, Human Rights Watch mendapati rata-rata perjalanan perhimpunan Bersih 4 pada Sabtu mematuhi hak asasi manusia.

Timbalan Pengarah Bahagian Asia, Phil Robertson berkata, beliau berharap suasana aman itu dikekalkan sepanjang tempoh perhimpunan yang dijangka akan berlarutan sehingga petang Ahad.

"Setakat ini, perhimpunan berjalan secara aman dan terkawal oleh peserta Bersih 4 sendiri. Rata-rata orang ramai bebas menyuarakan pandangan masing-masing, berarak dan berkumpul bersama rakan-rakan menuntut agar hak mereka dihormati. Ia adalah hari yang cukup baik bagi hak asasi manusia di Malaysia," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Beliau turut memuji tindakan polis yang berjaya mengawal keadaan di perhimpunan berkenaan.

Pada masa sama, tindakan pihak penganjur perhimpunan sendiri menghalang peserta daripada memasuki kawasan larangan di Dataran Merdeka.

"Penganjur Bersih berjaya memastikan tiada konfontasi berlaku antara peserta dengan pihak berkuasa. Mereka antara lain mewujudkan 'sekatan manusia' bagi menghalang peserta memasuki Dataran Merdeka. Itu suatu tindakan yang bijak," katanya.

Bagaimanapun, wujud kebimbangan tindakan susulan yang bakal dikenakan terhadap peserta perhimpunan yang memakai baju kuning tertera 'Bersih 4' yang telah diharamkan pihak berkuasa.

"Apa yang kami bimbang adalah kerajaan akan mengambil tindakan selepas perhimpunan berkenaan terhadap peserta kerana terlibat atau memakai baju yang telah diharamkan itu.

"Pihak kami juga akan memantau rapi perkembangan ini dan memastikan perkara itu tidak berlaku," katanya.

Beliau juga berharap arahan daripada Kementerian Dalam Negeri itu ditarik balik susulan melanggari kebebasan hak asasi manusia.