Pihak polis mempunyai cukup alasan untuk menyiasat bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah kerana menghasut berdasarkan kenyataan yang dibuat beliau ketika di Parlimen mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, selain daripada melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972, kenyataan Ahmad Husni juga boleh diklasifikasikan di bawah Akta Hasutan kerana proses siasatan keatasnya masih belum selesai.

"Tindakan bekas menteri ini dengan 'mendedahkan' atau membuat cerita berkenaan salah laku Perdana Menteri adalah untuk menghasut orang bahawa Perdana Menteri telah melakukan kesalahan, walhal siasatan belum selesai," kata Khalid.

Tambahnya, begitu juga keadaannya dengan dua bekas menteri yang lain iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Jadi pihak polis mempunyai cukup sebab untuk menyiasat mereka," kata beliau.

Pada Okt 31, Ahmad Husni telah dipanggil untuk memberi keterangan namun sesi tersebut ditunda ke tarikh yang belum ditentukan lagi.

Semasa perbahasan ucapan Bajet 2017, Ahmad Husni meminta kerajaan menyatakan sebab 1MDB ditubuhkan dan sama ada jika sebarang tindakan diambil terhadap pengurusan 1MDB kerana menyalurkan dana syarikat pelaburan negara itu ke tempat yang salah.

BACA: Belum ada keperluan UMNO ambil tindakan terhadap Husni - Annuar