Ibu bapa kepada ketiga-tiga kanak-kanak yang ditemukan lemas di bekas lombong bauksit di Taman Sungai Karang Jaya di sini Sabtu lalu, telah melantik peguam untuk mengambil tindakan undang-undang.

Peguam Mohd Harris Abdullah berkata beliau telah berjumpa dan mendapat kebenaran Mohd Sharif Awang Ngah, 50, dan Nor Habibah Aidil, 50, serta Aidil Omar, 78, iaitu ibu bapa dan datuk Nureen Ain Juwita, 10, seorang daripada mangsa kejadian itu.

Beliau menambah Zuhairi Syukor, 51, dan isteri Nor Azilah Muzaffar Shah, 32, menerusi panggilan telefon juga memberi kelulusan kepadanya untuk mendapatkan keadilan terhadap kematian anak mereka iaitu Salsabila, 12, dan Mahathir Mohamad, 7.


BACA: Arwah minta pakai telekung putih - Ibu

BACA: Tengku Abdullah titah kawasan lombong bauksit terbiar dikambus

BACA: Datuk mangsa mahu saman pihak terbabit

"Selepas mendapat kebenaran keluarga, kita akan memulakan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab. Setakat ini, berdasarkan kenyataan awal, pemilik tanah berada di Pulau Pinang.

"Kita juga akan menyiasat siapa pemegang lesen di situ. Difahamkan lesen daripada PTG (Pejabat Tanah dan Galian negeri) adalah bagi kerja-kerja mengalih tanah, bukan melombong," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.


Beliau juga tidak menolak akan memfailkan saman terhadap PTG Pahang jika didapati berlaku kecuaian agensi itu kerana mengeluarkan lesen tanpa pemantauan yang sewajarnya.

"Bagaimanapun, semuanya akan diperincikan sebelum memfailkan saman. Kita menjangkakan siasatan akan mengambil masa selama sebulan sebelum dapat diikuti dengan tindakan seterusnya," katanya.

Pada 5 petang Sabtu lalu, tiga kanak-kanak itu ditemukan lemas di lombong terbabit dipercayai selepas cuba mengambil seluar adik Salsabila, Mohamad Aiman Hakimi, 10, yang terjatuh ke dalam lombong itu.

Lombong berkenaan yang terletak berhampiran kawasan perumahan mereka dipercayai beroperasi secara haram di atas tanah persendirian sebelum ditinggalkan sejak tempoh moratorium bauksit berkuat kuasa pada 15 Jan 2016. -- Bernama