Tutup

Ibu tak sangka anak akan 'pergi' dalam tragedi lemas

Ibu tak sangka anak akan 'pergi' dalam tragedi lemas
Dua daripada empat sekawan jadi mangsa lemas di Boardwalk Setiu pada Ahad. - Astro AWANI
SETIU: "Saya dah larang kakak supaya jangan mandi jauh dari saya, tapi tak sampai lima minit saya dengar suara meminta tolong,"keluh ibu kepada Nur Qumairah Qistina Mohammad Nizam, 12, yang lemas di lagun Boardwalk, di sini, hari ini.

Che Azlina Che Muda, 39, berkata sebelum kejadian anak sulungnya itu kerap merayu agar membawa beliau ke situ namun berjanji akan menunaikan permintaan tersebut selepas selesai Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Khamis lalu.
"Memang niat nak bawa arwah ke sini lepas habis UPSR. Jadi saya ajak sekali kawan-kawan rapat arwah tiga orang yang memang selalu dengan beliau dalam satu kelas.

"Saya tak sangka benda ni nak jadi, pada awalnya kami datang memang nak mandi manda juga tapi tak adalah sampai ke kawasan tengah cuma di kawasan cetek," katanya ketika ditemui pemberita di Boardwalk Setiu, Pengkalan Gelap di sini.
Menurut Azlina, yang merupakan seorang suri rumah, semasa kejadian, ayahnya, Che Muda Che Ahmad, 66, dan orang ramai cuba menyelamatkan anaknya dan tiga rakannya Nor Hafizatul Nabihah Mohd Jaffar, Nur Ain Najihah Abdul Rani dan Aisha Syakirah Ishak, kesemuanya berusia 12 tahun.

Bagaimanapun hanya dua dapat diselamatkan iaitu Nur Ain Najihah dan Aisha Syakirah manakala anaknya dan Nur Hafizatul Nabihah ditemui lemas.

BACA: 2 mati lemas di Boardwalk Setiu: Hari berseronok selepas UPSR bertukar tragedi

Sementara itu saksi kejadian, Nik Azman Nik Man, yang merupakan salah seorang anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, berkata semasa kejadian tersebut beliau turut berada di lokasi berkenaan bersama keluarganya.

"Saya kebetulannya bersama keluarga datang mencari kepah di sini dan lihat mereka bermain air di belakang saya. Waktu itu saya juga lihat datuk mangsa berada berdekatan.

"Tak lama lepas tu saya dengar orang minta tolong. Bila tengok hanya tinggal dua orang sahaja di permukaan dan dua lagi sudah tidak kelihatan," katanya.

Menurut Nik Azman, beliau sempat membantu mencari dan menyelamat bersama-sama orang ramai dan anggota bomba yang datang dalam operasi tersebut.

Empat sahabat berkenaan adalah murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Rahmat, Setiu.

-- BERNAMA


Tag: lemas, tragedi lemas, mangsa, boardwalk setiu



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.