IKEA meminta pelanggannya yang memiliki lampu siling HYBY, LOCK atau RINNA agar segera mengembalikan produk terbabit ke kedai IKEA dan menerima bayaran balik sepenuhnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, kedai perabot itu berkata ia menerima laporan daripada pelanggan di seluruh dunia mengenai insiden penutup kaca lampu berkenaan terjatuh.

Ada beberapa kejadian melibatkan mangsa perlu mendapatkan rawatan perubatan termasuk satu kes di Malaysia, katanya.

"IKEA memandang serius aspek keselamatan produk. Semua produk kami diuji bagi mematuhi piawaian dan undang-undang.

"Di sebalik semua ini, kami menerima laporan lampu siling LOCK dan HYBY jatuh daripada siling. Bagi menjamin keselamatan pengguna dan mengelakkan kejadian tidak diingini seterusnya, kami menarik balik produk terbabit dengan bayaran balik penuh," kata IKEA.

Lampu siling LOCK dan HYBY masing-masing dijual di Malaysia sejak 2002 dan 2012.

Lampu siling RINNA pula hanya terdapat di 11 negara Eropah dan di China. Produk ini tidak dijual di Malaysia.

Pelanggan tidak perlu mengemukakan bukti pembelian bagi mendapatkan bayaran balik penuh, kata IKEA yang turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami pelanggan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh hubungi pusat perkhidmatan pelanggan IKEA menerusi talian 03-79527575.
-- BERNAMA
ZAI MB NM