'Show terakhir.' Ini merupakan pesanan teks terakhir yang dikirim melalui aplikasi WhatsApp, yang dihantar Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya kepada ibunya.

Rusunjan Mohamad, 57 tahun, dari Kampung Indai, Tuaran, berkata itulah kali terakhir dia berhubung dengan anak sulungnya itu.

Jelas Rusunjan yang ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) berita mengenai anaknya terkorban amat mengejutkan mereka sekeluarga namun tetap reda dengan pemergian Allahyarham.

"Sebelum itu dia ada hantar WhatsApp, mengatakan ia 'show' terakhir," katanya.

Allahyarham Mejar Zahir, 36 tahun, didakwa tertembak oleh rakannya sendiri dalam jarak lingkungan lima meter.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Haris Ibrahim dalam kenyataan medianya sebentar tadi mengesahkan kejadian itu.

BACA: Anak pelakon AR Badul, Mejar Zahir Armaya maut terkena tembakan

Beliau berkata, dalam kejadian jam 8.25 pagi mangsa ketika itu sedang melakukan acara persembahan tembak sempena Majlis Perbarisan Penubuhan Divisyen ke-5 Infantri Malaysia dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi.

BACA: TDM akan tubuh lembaga siasatan kenal pasti kejadian kematian Mohd Zahir

Sementara itu, Rusunjan mendedahkan jenazah anaknya akan dikebumikan di Perak, dan diterbangkan ke Semenanjung Malaysia pada malam ini.

BACA: Mohamad Sabu ucap takziah, jangan buat spekulasi tragedi Mejar Mohd Zahir


"Kalau boleh dia dikebumikan di sini, tapi kami reda atas permintaan isterinya," katanya sebak.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid As-Salam, Kem Lok Kawi, Putatan pada petang ini.

Allahyarham akan dikebumi di Tanah Perkuburan Tambun, Perak.

Untuk rekod, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.