Ini soalan yang belum terjawab tentang 'projek kereta nasional ketiga'

Ini soalan yang belum terjawab tentang 'projek kereta nasional ketiga'
Khairil Adri mengakui 90 peratus kepentingan syarikat DreamEDGE adalah miliknya sementara 10 peratus lagi dimiliki sayap pelaburan MIGHT, VentureTECH. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR/Fail
IA sememangnya bukan kereta terbang!

Bukan itu sahaja kejutan yang diumumkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri MITI semalam dibangunkan oleh syarikat Bumiputera tempatan tanpa menggunakan dana kerajaan.

Jumaat lepas, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking mengumumkan pelantikan sebuah syarikat tempatan DreamEDGE Sdn Bhd untuk mengetuai projek pembangunan kereta nasional ketiga.

Antara lain ia turut memaklumkan bahawa DreamEDGE akan bekerjasama dengan syarikat automotif Jepun, Daihatsu dan kereta berkenaan berkemungkinan besar merupakan sebuah kereta sedan segmen B+ dengan  model pertama disasar siap dalam dua tahun lagi 

Siapakah DreamEDGE?

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa menyatakan DreamEDGE berupaya untuk melakukan banyak perkara dan mempunyai keupayaan.
Menerusi carian di Internet, tidak banyak yang diketahui mengenai syarikat ini. Bagaimanapun dalam satu kenyataan yang dimuat naik oleh Ketua Pegawai Eksekutif DreamEDGE Khairil Adri Adnan sehari selepas sidang media mengumumkan projek kereta nasional ketiga, beliau mengakui 90 peratus kepentingan syarikat itu adalah miliknya sementara 10 peratus lagi dimiliki sayap pelaburan MIGHT, VentureTECH.

Sementara itu dalam laman web syarikat itu, ia mengakui terlibat dalam sektor minyak dan gas, pembinaan kapal, kesihatan dan automotif dan menawarkan perkhidmatan dalam bidang reka bentuk, kejuruteraan dan pembuatan.

Ia juga pernah terlibat dalam pembangunan kenderaan melibatkan aspek rekabentuk, pembangunan prototaip dan pembangunan sistem.

Dalam satu laporan di sebuah portal tempatan pada Julai 2012, DreamEDGE dilaporkan dilantik sebagai 'anchor company' di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diilhamkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menerusi program itu, DreamEDGE dilaporkan membangunkan Pusat Rekabentuk Kejuruteraan Digital dan bekerjasama dengan syarikat Jepun Digital Process Ltd untuk membangunkan program pembelajaran. Menerusi program itu DreamEDGE dilaporkan melabur RM2.16 juta.

Bagaimana syarikat rekabentuk boleh diberi kepercayaan membangunkan kereta?

Kalau dilihat kepada pengalaman terdahulu DreamEDGE, syarikat ini pernah membangunkan prototaip kenderaan dan bekerjasama dengan syarikat-syarikat luar negara.

Bagaimanapun, perkara utama yang cuba ditegaskan oleh DreamEDGE ketika sidang media Jumaat lalu ialah ia tidak akan menggunakan dana kerajaan untuk membangunkan kereta nasional ketiga.

Tetapi, jika ia tidak menggunakan dana kerajaan, kenapakah projek ini ditakrifkan sebagai projek kereta nasional?

Mungkin faktor yang melayakkannya disebut sebagai kereta nasional ialah apabila dibangunkan sendiri oleh anak-anak tempatan.

Beberapa orang dalam industri berpendapat, status berkenaan penting untuk membolehkan DreamEDGE memperoleh bantuan dari segi frasarana dan skim bantuan yang boleh dipohon seperti mana syarikat-syarikat lain dan tidak semestinya bantuan kewangan.

Apa perlu DreamEDGE buktikan?

Sehingga kini DreamEDGE enggan memberi sebarang reaksi kepada setiap usaha kami untuk mendapatkan maklum balas dan wawancara dengan wakil syarikat itu.

Beberapa persoalan masih berlegar dan memerlukan jawapan. Pertama walaupun tanpa geran dan dana kerajaan, adakah ia sedia untuk menerima pelaburan daripada GLC atau GLIC jika projek ini difikirkan mampu memberi pulangan lumayan kepada pelaburan mereka. Jika ya, sediakah mereka berhadapan dengan 'public scrutiny'?  

Kedua, sebagai projek kereta nasional, ia membawa jenama dan kebangaan Malaysia, justeru projek ini tidak boleh gagal baik dari segi teknologi dan kebolehpasaran. DreamEDGE perlu buktikan bahawa ia tidak akan memalukan Malaysia!