Saksi ke-17 inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini memberitahu Mahkamah Koroner Shah Alam, dia melihat sekumpulan perusuh, kira-kira 30 orang dalam bulatan, dan lima atau enam orang antara mereka seperti sedang memukul dan memijak seseorang.

Nasaruddin Abdullah, 25 tahun, berkata ketika itu, dia berada berhampiran dengan kumpulan itu dan hanya melihat kejadian itu berlaku.

"Dalam kumpulan itu, ada lima hingga enam orang macam tengah pukul seseorang, tangan seperti menumbuk ke arah bawah dan kaki menendang, mereka menjerit-jerit," katanya apabila ditanya Pegawai Pengendali Inkues, Hamdan Hamzah berhubung situasi berhampiran jentera EMRS Bomba di mana pintu sisi kenderaan kelihatan terbuka ketika itu.

Selain itu, saksi turut terdengar perusuh mengeluarkan kata-kata kesat yang datang dari arah kumpulan perusuh berkenaan terhadap seorang lelaki berbangsa Melayu.

"Saya dengar mereka jerit, 'Berani kau orang masuk kuil India!' dan ada yang mencarut ketika itu.

"Bagaimanapun kumpulan berkenaan bergegas melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak polis."

Nasaruddin berkata, dia kemudian turut melihat sekumpulan lelaki sedang mengusung seorang anggota bomba – dipercayai Muhammad Adib – yang dalam keadaan tidak berbaju dan hanya berseluar celoreng bomba.

Antara pendedahan lain termasuk, dua individu dilihat memanjat bahagian sisi kiri dan kanan jentera FRT Bomba.

"Jentera FRT dikelilingi dalam 30 perusuh masa itu dan ada dua orang panjat jentera bomba dan pukul cermin guna helmet dan kayu pada bahagian kiri dan kanan," kata Nasaruddin.

Nasaruddin hadir pada sesi prosiding sebelah pagi pada hari ke-11 inkues yang bermula sekitar jam 11 pagi.

Prosiding bersambung dengan saksi seterusnya pada sebelah petang di hadapan Koroner Rofiah Mohammad.

BACA: Inkues Adib: Adib tunjuk isyarat ditarik, angguk bila ditanya dipukul

BACA: 'Adib minta kebenaran guna telefon bimbit' - Saksi