Saksi ke-21 pada prosiding inkues punca kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini mendedahkan dua unit Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang dikejarkan ke lokasi ketika malam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 menghadapi kesukaran untuk bertindak ekoran tidak menerima sebarang arahan.

ASP Shuhaimi Yaakub, 39, yang merupakan Pegawai Penjaga Troop 1A FRU turut memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa sebarang tindakan oleh pihaknya mengikut garis panduan Public Order Manual (POMAN).

"Arahan pada malam itu yang kami terima hanya standby tanpa sebarang arahan dan hanya diminta untuk lapor kepada Ketua Polis Daerah Subang Jaya dan menunggu arahan dari pihaknya," jelasnya kepada Mahkamah Koroner.

Beliau turut memberitahu telah berhubung bersama pegawai medan, Deputi Superintenden Nasir Drahman namun tiada sebarang arahan diterima. Pihaknya juga cuba untuk mendapatkan Ketua Polis Daerah Subang Jaya ketika itu namun gagal dihubungi.

"Kami cuba hubungi kali kedua dan arahan diterima oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya adalah masih standby," katanya.

BACA: Garis Masa: Saksi Prosiding inkues mencari punca kematian Adib

Menurut saksi, pada dasarnya kekuatan satu kumpulan unit FRU mampu mengawal lebih 1,000 orang bagaimanapun pihaknya tidak mempunyai kekuatan sepenuhnya ketika kejadian.

"Sepatutnya setiap kumpulan kekuatan sebenar 85 anggota dan tiga pegawai namun ada yang bercuti dan mempunyai tugasan lain," jelasnya lagi.

Tambahnya, Unit FRU juga tidak dimaklumkan secara terperinci mengenai tugas pada malam itu dan tiada sebarang taklimat diberikan kepada pihaknya serta penugasan pada malam itu adalah secara mengejut dan terus menuju ke lokasi kejadian tanpa diberitahu di mana lokasi sebenar untuk bersiap sedia.

"Keadaan pada malam itu berada di luar kawalan dan ada orang ramai yang mengelilingi kenderaan FRU," katanya.

Dalam pada itu, peguam mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Yahya Othman turut mempersoalkan tindakan anggota polis pada malam itu sehingga menyebabkan seorang nyawa terkorban. Beliau turut menzahirkan rasa terkilan terhadap pihak polis ketika prosiding berlangsung.

Prosiding Inkues pada Rabu turut menyaksikan kehadiran saksi ke-22, Hardeep Singh yang merupakan individu yang merakam video ketika kejadian yang turut tular di laman sosial. Beliau hadir bagi membuat pengesahan berhubung video berkenaan.

Prosiding inkues tamat jam 5.30 petang dan bersambung esok jam 11 pagi.

Muhammad Adib didakwa mengalami kecederaan parah ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ25 pada 27 November lalu sebelum meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara pada 17 Dis 2018.