“Aku dah tak ada apa-apa lagi."

Ini rintihan berulang Mohd Fadzil Muhammad, 32 tahun, bapa kepada tiga beradik yang dipercayai maut dikelar dalam insiden menyayat hati di Kampung Sungai Haji Muhamad, di sini pada petang Khamis.
Mohd Fadzil, 32 tahun yang kelihatan sugul, mencari kelibat anaknya sempat ditemui di perkarangan Jabatan Kecemasan Hospital Teluk Intan selepas insiden tragis yang berlaku pada Ramadan pertama itu.
Ketiga-tiga beradik yang maut dikelar tersebut adalah Muhd Faqhqih Zahirul Haq Muhd Fadzil, 5 tahun, Muhammad Firash Zaffril, 3 tahun dan Nurziah Fasihah Fadzil, 2 tahun yang ditetak dengan kejam di kediaman keluarga tersebut.
Sementara itu, ibu tiga beradik itu, Zuraidah Md Ali, 35, dipercayai mengalami kecederaan parah akibat dilibas oleh lelaki tidak siuman berkenaan di beberapa bahagian badannya dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan.

BACA: Tragik! Tiga beradik maut dikelar
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abdul Rahman berkata, suspek lelaki berusia 37 tahun dipercayai merupakan rakan sekerja kepada bapa mangsa di ladang kelapa sawit dan mempunyai motif tertentu untuk menjadikan keluarga tersebut sasarannya dalam insiden itu.

Foto Astro AWANI

“Suspek telah pergi ke rumah rakannya dan menetak tiga beradik itu serta mengelar ibu mereka, sebelum bergegas ke Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhamad yang berada sekitar 20 meter dari rumah itu.
“Suspek kemudian mencari kakak sulung mereka, Nur Zurin Faziera, 9 dengan niat mencederakannya namun gagal berbuat demikian sebaliknya mencederakan seorang rakan sekelasnya, Ainaa, yang cedera di tangan,” katanya kepada pemberita.
Menurut Yahya, seorang guru agama yang hanya mahu dikenali sebagai Redzuan berada di perkarangan sekolah turut terkena amukan suspek, namun terselamat dan mengalami kecederaaan di pipi berikutan memakai topi keledar.
Katanya, polis kemudian berjaya menangkap suspek di sekolah rendah berkenaan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.