Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa orang ramai, khususnya ahli-ahli politik supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat atau tuduhan tidak berasas mengenai insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, perbuatan berkenaan bukan sahaja tidak membantu meredakan isu terbabit malah mengeruhkannya lagi.

“Mereka mesti dapatkan maklumat sebenar sebelum membuat kenyataan. Ini termasuk ahli politik juga.

“Jangan tuduh polis sembarangan berdasarkan maklumat tidak sahih. Saya harap semua faham tentang usaha yang berterusan untuk mengawal keadaan dan ia merupakan tanggungjawab bersama.

“Oleh itu, jangan keluarkan kenyataan tidak tepat kerana ia bukan sahaja tidak membantu, malah mengeruhkan keadaan dan merumitkan proses siasatan,” tegas Mohamad Fuzi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Perak di Ipoh pada Selasa.

BACA: Komuniti India perlu bertenang, jangan bertindak melulu - Waytha Moorthy

Pada tengah hari Selasa, beberapa menteri dan ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) telah menggesa tindakan disiplin dikenakan terhadap anggota polis daerah Subang Jaya kerana mengeluarkan kenyataan salah mengenai isu kuil berkenaan.



Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berkata, kenyataan salah dan tidak bertanggungjawab itu telah menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat India kerana kelewatan serta tindakan polis yang tidak berkesan untuk mengawal insiden berkenaan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan insiden rusuhan berkenaan, Mohamad Fuzi berkata pihaknya sedang memburu individu-individu terlibat yang bertanggungjawab membakar, memecahkan cermin kenderaan dan mencederakan seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

BACA: Insiden Kuil Sri Maha Mariamman: 'Kamu kuat, kamu perlu cepat bangun' - rayu tunang pada bomba

Katanya lagi, penilaian juga sedang giat dilakukan bagi mengetahui sama ada langkah-langkah lebih ketat perlu diambil atau sebaliknya bagi mengawal keadaan.

Beliau juga menggesa orang awam yang mempunyai makumat mengenai insiden itu untuk tampil ke hadapan bagi membantu siasatan.