Tutup

Insiden sesak nafas: Tiga sekolah, dua tadika ditutup mulai esok

Insiden sesak nafas: Tiga sekolah, dua tadika ditutup mulai esok
Petugas keselamatan mengambil keterangan mangsa pencemaran udara yang mendapatkan rawatan di Sekolah Agama Taman Mawar, Johor Bahru, 20 Jun, 2019. --fotoBERNAMA/Fail
JOHOR BAHRU: Tiga sekolah dan dua tadika di kawasan Pasir Gudang di sini ditutup selama dua hari, bermula esok bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan pemantauan lanjut berhubung insiden sesak nafas membabitkan 15 orang murid di kawasan itu pada Khamis.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata keputusan untuk menutup sekolah dan tadika itu dibuat oleh jawatankuasa teknikal kes itu dan akan membabitkan Sekolah Agama Taman Mawar (tempat di mana kejadian berlaku), Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 2. 
Dua tadika itu pula - Tadika Pasti dan Tadika Pintar Bestari. 

“Semua sekolah dan tadika ini berada dalam radius antara 100 hingga 800 meter dari Sekolah Agama Taman Mawar.
“Kita menutupnya sebagai langkah berjaga-jaga kerana ini juga melibatkan budak kecil (murid tadika),” kata Mohd Khuzzan yang menambah terdapat lebih 3,000 orang (termasuk guru) berada di sekolah dan tadika itu.  

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Operasi Pemantauan, Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, hari ini.

BACA: Penduduk Taman Mawar akui ada hidu bau seperti diesel, gas

Mohd Khuzzan berkata setakat hari ini, radius kawasan yang telah dipantau oleh pasukan pemantauan kualiti udara yang ditubuhkan adalah sejauh 1.1 kilometer dari tempat kejadian namun didapati tahap bacaan kualiti udara di kawasan itu masih normal.

“Oleh itu, pemantauan akan diteruskan sehingga Isnin (24 Jun) sementara menunggu laporan siasatan pihak berkaitan berhubung puncanya,” katanya. 

BACA: MESTECC tubuh jawatankuasa siasat kes pelajar sesak nafas di Pasir Gudang

Beliau juga memaklumkan sehingga kini, tiada panggilan susulan diterima pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berhubung insiden sama.

“Cuma pada tengah hari semalam selepas selesai sahaja sidang media yang kami lakukan, dua mangsa baharu dilaporkan telah menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail. 

“Mangsa ialah pelajar lelaki dan perempuan berusia 11 tahun dari sekolah agama terbabit tetapi seorang daripadanya ada asma. Enam lagi mangsa yang dimasukkan ke wad hospital itu lebih awal pula telah pun dibenarkan pulang,” kata beliau. 

-- BERNAMA