Israel sepatutnya mematuhi apa jua resolusi yang dicapai di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), termasuk penolakan 128 negara terhadap pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya yang baru.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Israel harus sedar ia hanya salah satu negara anggota PBB, dan tidak ada asas untuk negara itu meneruskan kedegilannya dengan tidak mematuhi resolusi antarabangsa.

“Israel hanya salah sebuah negara kepada anggota PBB. Kedegilan Israel ini memang sejak penubuhan negara berkenaan.

"Dan Israel harus mematuhi apa saja keputusan di peringkat antarabangsa, walaupun selama ini mereka sering mencabul dan menolak resolusi PBB,” katanya kepada pemberita di Masjid Putra, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang enggan menerima hakikat dan menegaskan Baitulmaqdis akan sentiasa menjadi ibu negara negara itu.

Awal pagi ini, PBB telah mengisytiharkan keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, menggantikan Tel Aviv, sebagai tidak sah dan terbatal.

Dalam sesi pengundian itu, 128 negara menolak keputusan AS itu dengan sembilan lagi negara menyokong, manakala 35 negara lain mengambil pendirian berkecuali.

Hari ini turut berlangsung Himpunan Putih: Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Putrajaya, satu platform bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan AS tersebut.

Perhimpunan akan dihadiri pemimpin negara termasuk Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta beberapa pemimpin kanan parti politik.