Isteri kepada mendiang bekas menteri dan Presiden MIC, Tun VT Sambanthan, Toh Puan Uma Sambanthan menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 1.30 petang Jumaat.

Menurut laporan portal The Star, mendiang Uma meninggal dunia pada usia 90 tahun.

Sambanthan merupakan antara tokoh penting dalam landskap politik negara bersama-sama dengan Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan mendiang Tun Tan Cheng Lock.

Mendiang Sambanthan juga pernah memangku jawatan Perdana Menteri Malaysia selama sehari pada Ogos 1973 ketika Perdana Menteri Allahyarham Tun Razak menghadiri persidangan di Kanada manakala Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr Ismail meninggal dunia.

Mendiang Uma terkenal sebagai seorang aktivis sosial dan merupakan tunggak utama di sebalik penubuhan gerakan koperasi di Malaysia.

Uma juga antara tokoh penting di sebalik penubuhan
Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) dan pernah menjadi presiden pertubuhan itu.

Selain itu, latar belakang dalam bidang perundangan menyebabkan mendiang Uma sentiasa ke hadapan dalam membela isu-isu kaum wanita.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dalam kenyataan media menyatakan rasa sedih beliau di atas pemergian mendiang Uma.

Menurut Kula Segaran, hubungan beliau dengan keluarga mendiang Uma sangat peribadi buatnya.

"Satu-satunya anak perempuan mendiang Uma, Kunjeri juga seorang peguam sangat akrab dengan keluarga saya.

"Uma merupakan antara orang pertama yang saya jumpa apabila dilantik sebagai menteri. Restu beliau sangat penting buat saya kerana mendiang sentiasa dekat di hati saya," kata Kula Segaran lagi.

Foto kenangan Kula Segaran dengan mendiang Uma Sambanthan.

Uma, juga kata Kula Segaran, akan dikenang sebagai seorang tokoh yang telah memberikan sumbangan yang besar pada negara dan rakyat sepanjang hayatnya seperti mana mendiang suaminya.