Datuk Seri Mukhriz Mahathir menafikan Azrin Zizal masih bekerja sebagai pegawai medianya selepas beliau dilantik sebagai Menteri Besar Kedah pada 2013.

Malah, Mukhriz menafikan apa-apa kenyataan dan dakwaan yang dibuat oleh Azrin – bekas pegawai medianya ketika di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri – sebelum ini.

"Azrin tidak bercakap benar. Saya sendiri sebenarnya berminat untuk melihat bagaimana beliau dapat membuktikan dirinya sebagai kakitangan saya sewaktu saya menjadi Menteri Besar Kedah, sedangkan semua wakil media tahu pegawai media saya ketika itu, dan hingga kini, hanyalah Mohd Fisol Jaafar.

"Dakwaan Azrin yang kemenangan Barisan Nasional (BN) di Kedah dan pelantikan saya sebagai Menteri Besar adalah hasil usaha beliau, adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Beliau mungkin perlu diingatkan bahawa majikan beliau iaitu Cambridge Analytica sendiri mengakui dalam laman web mereka bahawa mereka membantu BN Kedah," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi hari ini.

Mukhriz bertegas, beliau sama sekali tidak mempunyai pengetahuan berhubung isu Cambridge Analytica atau SCL Group itu.

"Kita semua harus ingat bahawa Cambridge Analytica dan SCL Group pada masa kini sedang menghadapi tuduhan menyebarkan berita palsu demi memberi keuntungan kepada parti politik yang mendapatkan khidmat mereka.

"Untuk menganggap rakyat Malaysia percaya kepada apa sahaja kenyataan mereka, adalah sesuatu yang amat bodoh," tambahnya.

Mukhriz berkata demikian apabila diminta membalas dakwaan Azrin – yang kini merupakan Ketua SCL Malaysia – yang beliau (Mukhriz) menipu tentang menerima nasihat dari firma penyelidik tersebut ketika berkempen untuk pilihan raya umum ke-13 (PRU13) di Kedah pada 2013.

BACA: Kenyataan Mukhriz mengenai Analytica bohong sama sekali - Azrin Zizal

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Azrin mendakwa beliau masih berkhidmat untuk Mukhriz ketika beliau (Mukhriz) mengetuai jentera BN di Kedah sewaktu PRU13, sebelum memegang jawatan MB negeri itu sehingga 2015.

"Mukhriz kata saya hanya merupakan pegawai medianya hingga 2013 dan tidak lagi berkhidmat dengannya apabila beliau dilantik menjadi Menteri Besar Kedah. Ini kenyataan palsu. Saya bekerja dengan Mukhriz secara peribadi dan memberi khidmat nasihat dan strategi komunikasi kepada beliau sehingga 2015, termasuklah ketika PRU13, dan kemudiannya apabila beliau menjadi Menteri Besar.

"Untuk beliau menyatakan beliau tidak menerima apa-apa keuntungan secara langsung daripada data yang diperoleh Cambridge Analytica (ketika berkempen di Kedah) adalah tidak benar.

"Saya sedia mengemukakan bukti sekiranya beliau terus memberi kenyataan palsu," kata Azrin.

Azrin menyoal lanjut, sekiranya Mukhriz, yang kini merupakan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, terus menafikan khidmatnya, dan menafikan apa jua jenis keuntungan yang diperoleh daripada data Cambridge Analytica/SCL Group untuk Kedah pada 2013, adakah Mukhriz akan turut menafikan fakta bahawa Kedah memenangi enam kerusi Parlimen tambahan, memenangi negeri, dan seterusnya menjadi Menteri Besar?

"Akhir sekali, Mukhriz mendakwa Cambridge Analytica bekerja untuk BN. Ini sama sekali tidak benar. Tiada satu masa pun Cambridge Analytica atau syarikat induknya SCL Group pernah bekerja, atau dibayar oleh BN atau Kerajaan Persekutuan. Nasihat yang diberikan untuk pilihan raya 2013 disediakan untuk Mukhriz secara peribadi," tambahnya lagi.