Susulan penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV), rakyat Malaysia, khususnya pemain industri pelancongan, perlu menghantar mesej yang jelas kepada seluruh dunia bahawa Malaysia merupakan negara yang selamat untuk dikunjungi, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

"Berdasarkan kepada pengalaman dan kepakaran negara dalam pengawalan jangkitan virus, saya berharap kita dapat bersama-sama mengekalkan 'feel good factor' dalam sektor pelancongan negara melalui penganjuran program dan acara pelancongan yang sehingga kini masih diteruskan seperti biasa di samping mengambil langkah-langkah perlindungan yang sewajarnya," katanya.

Beliau berkata kementeriannya telahpun merangka strategi jangka pendek atau 'Quick Wins' bagi membantu industri pelancongan negara kekal mampan dan bergerak maju meskipun berdepan situasi di luar jangkaan seperti penularan 2019-nCoV yang berasal dari Wuhan, China dua bulan lalu.

Meskipun mengakui bahawa situasi koronavirus ketika ini memberi kesan terhadap industri pelancongan global dalam tempoh yang singkat, Muhammad Bakhtiar berkata Malaysia telah merangka strategi bagi melindungi pasaran dan pemain industri pelancongan.

BACA: Koronavirus: Seorang lagi rakyat Malaysia disahkan positif

Antara strategi yang dirangka ialah meningkatkan usaha-usaha promosi bagi pelancongan domestik melalui kempen Cuti-Cuti Malaysia.

"Saya yakin tawaran-tawaran pakej dalam 'Best of Labuan Holiday Packages 2020' yang kita lancarkan malam ini misalnya, mampu menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk berkunjung ke Labuan dan merancakkan lagi pelancongan domestik yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam industri pelancongan negara," katanya ketika melancarkan pakej itu di Pusat Konvensyen Ujana Kewangan Labuan malam tadi.

Terdahulu, beliau berkata Labuan mampu menjadi antara destinasi pilihan pelancong dan pulau peranginan yang wajib dikunjungi di Malaysia meskipun hanya berkeluasan 92 kilometer persegi.

"Selain terkenal sebagai destinasi syurga selam skuba, Labuan memiliki keindahan alam semula jadi, pulau yang indah, udara yang bersih, persekitaran yang tenang dan mendamaikan, pemandangan matahari terbenam yang mengagumkan serta kekayaan hasil sejarah dan tapak geologi yang mempunyai nilai warisan yang tinggi," katanya.

Labuan bakal menganjurkan lebih 100 acara menarik termasuk yang berprestij di peringkat antarabangsa.

Antara acara istimewa yang tersenarai dalam kalendar pelancongan Malaysia ialah Cabaran Laut Antarabangsa Labuan (26 - 28 Jun), Festival Kesenian Borneo (25 - 27 Sept), Karnival Sukan Pelancongan (19 - 20 Okt) dan Hari Peringatan Labuan pada 8 Nov.

-- BERNAMA