Kerajaan memaklumkan kepada Dewan Rakyat hari ini, isu Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) di negara ini masih terkawal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, rakyat negara ini tidak terlalu mudah menghukum bencana yang berlaku di Palu, Indonesia, sebagai bala berkaitan LGBT.

"Ada pun dalam keadaan kita hari ini, isu LGBT walaupun ia merupakan satu permasalahan, tapi masih di bawah kawalan.

"Saya tidak rasa kita terlalu mudah menghukum bala itu, hanya dengan membuat satu-satu contoh, maka akan tiba satu bala.

"Yang perlu kita buat dan bincang ialah bagaimana menanganinya, sebagai tanggungjawab kita menjaga, supaya perkara ini tidak berleluasa," katanya menjawab soalan tambahan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa).

Nik Nazmi minta penjelasan menteri tentang tindakan menghukum sesuatu sebagai bala, tanpa asas yang betul dari sudut agama, merujuk kepada soalan tambahan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk).

"Kita lihat situasi di Malaysia turut membimbangkan di mana kita tahu kejadian gempa bumi dan tsunami di Palu baru-baru ini dikhabarkan terdapat lebih kurang 1,000 mereka yang terlibat dalam aktiviti berkenaan.

"Akibatnya seluruh kawasan itu diranapkan. Ini adalah hukuman Allah. Soalan saya, sejauh mana keberkesanan Program Mukhayyam Jakim supaya dapat mengelakkan hukuman Allah?" soalnya.

Sebelumnya, Mujahid berkata, sebagai Muslim, kita perlu menerima bahawa tidak ada sesuatu bala yang menimpa tanpa izin Allah.

"Soalan (Setiawangsa) ini berkaitan dengan kenyataan dibuat Bagan Datuk tadi berkenaan kejadian di Palu.

"Sebagai seorang Muslim, sudah tentu (percaya), Allah berfirman tidak ada sesuatu bala yang menimpa tanpa izin Allah dan kepada Allah orang-orang yang beriman bertawakal bahawa semuanya datang daripada Allah.

"Kalau kita mengkaji kisah kaum-kaum yang dihancurkan, dan mungkin di sini dirujuk kepada kaum Luth, perbuatan mereka itu terlalu terserlah.

"Dalam kata lain, mereka tidak segan silu melakukannya secara terbuka, dan kerana itulah maka diturunkan bala," katanya.