Penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) diperlukan selain terpaksa digunakan atas faktor keselamatan, tegas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, semua pihak harus menerima hakikat bahawa pihak berkuasa terpaksa menggunakan akta berkenaan kerana situasi berbeza.

Dalam masa sama, Dr Mahathir berkata, terpulang pada Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy yang meluahkan rasa tidak puas dengan pembelaan Perdana Menteri terhadap akta berkenaan.

“Kalau dia (P.Ramasamy) tidak puas hati tak apalah dia kata tak puas hati tapi hakikatnya perkara ini berlaku dan ada sebab ia berlaku”, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Peralatan Perubatan Malaysia (MEDEX) pada Selasa.

BACA: Selain LTTE, wujudkan juga kertas putih mengenai Zakir Naik, kata P Ramasamy kepada Pas

Akta berkenaan, kata Ramasamy yang juga pemimpin DAP, yang digunakan untuk menangkap sejumlah individu yang disyaki ada kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), sebagai pahit untuk ditelan.

Difahamkan dua lagi ahli DAP telah ditahan pihak polis disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE baru-baru ini.

Khamis lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga EXCO kerajaan negeri Melaka, antara tujuh individu ditahan pihak polis selepas dipercayai terbabit dalam majlis memperingati perjuangan LTTE menjadikan jumlah setakat ini seramai empat ahli politik yang ditahan terlibat dengan kumpulan terbabit.

Mereka ditahan kerana didakwa mempromosikan, menyokong, dan memiliki bahan serta mengagihkan dana yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas itu.