Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini meminta semua pihak menunggu sehingga minggu hadapan sebelum beliau memberikan sebarang komen lanjut berhubung isu pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) termasuk pembelian blok pangsuri di Melbourne Australia.

"Hari ini saya tidak akan bercakap mengenai isu MARA. Tunggu buka puasa bersama Majlis Amanah Rakyat nanti, kita akan bincang mengenai perkara ini (isu MARA)."

Itu jawapan beliau sebelum sempat ditanya wartawan dalam satu sidang media sempena Majlis Berbuka Puasa Peringkat Kementerian Bersama Anak-Anak Yatim di Institut Kemajuan Desa INFRA, Bangi, Selangor.

Menurut Shafie, ulasan lanjut itu akan dibuat pada 7 Julai akan datang dalam satu majlis berbuka puasa bersama MARA di German Malaysian Institute, (GMI) Bangi, Selangor.

Dalam majlis itu, Shafie juga menyampaikan sumbangan kepada 102 orang anak yatim daripada Kampung Bukit Lanjan, Badan Orang Asli Hulu Langat, Sekolah Tahfiz Anak Yatim AlKitab Beranang, dan Rumah Anak Yatim Darul Fallah.

Mereka menerima sumbangan berbentuk wang tunai dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM 13,000.

Sebelum ini, media Australia, The Age melaporkan seorang pegawai tinggi MARA, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan dana kerajaan secara berlebihan untuk membeli satu blok pangsapuri di Melbourne.

BACA: Polis Persekutuan Australia lancar serbuan bantu siasatan penipuan hartanah

BACA: Pembelian hartanah di Melbourne berlandaskan laporan jurunilai - Abdul Halim

BACA: Dokumen baru dedahkan kepincangan prosedur pembelian hartanah MARA - Rafizi

Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' telah terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok pangsapuri itu pada 2013.

The Age melaporkan ketiga-tiga pegawai itu didakwa 'membida lebih tinggi' bagi bangunan Dudley International House iaitu daripada A$17.8 (RM51.5 juta) juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dan mendakwa wang perbezaan itu dijadikan rasuah di tanah air.

Dudley International House merupakan asrama pelajar yang dibeli MARA, yang turut menyediakan biasiswa untuk penuntut Malaysia yang melanjutkan pengajian di luar negara.

Bangunan Dudley International House setinggi lima tingkat itu di subbandar East Caulfield menempatkan 115 pelajar MARA di Monash University.