Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini mempersoalkan integriti transaksi yang dibuat oleh anak syarikat MARA, MARA Inc dengan mendakwa struktur syarikat itu yang sedia ada memudahkan penyelewengan berlaku.

Beliau yang juga Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW) juga mendakwa menerusi dokumen terbaru yang diperolehi, MARA telah menggunakan sehingga lapan syarikat untuk menutup maklumat berhubung pembelian empat hartanah di Melbourne.

Satu tindakan yang katanya merupakan cubaan lanjut untuk menutup pembelian itu.

Rafizi merujuk kepada kontroversi pembelian hartanah MARA Inc di Australia yang mendapat perhatian media baru-baru ini.

"Walaupun dikatakan mematuhi prosedur kerajaan, anda perlu benar-benar bertanya, sama ada jika ia benar-benar menepati prosedur.

"Atau adakah prosedur kerajaan tidak mencukupi untuk mengesan kepincangan yang terdapat dalam sistemnya yang boleh memudahkan untuk seseorang menyeleweng," katanya dalam satu sidang media di pusat National Oversight & Whistleblowers (NOW).

Beliau turut bertanya, "soalan utama saya ialah mengapa menggunakan syarikat luar pesisir pantai seperti British Virgin Island (BVI) apabila membuat pembelian hartanah kerajaan?"

Rafizi Ramli
Pengarah National Oversight & Whistleblowers Centre (Now) dan juga Naib Presiden PKR Rafizi Ramli di pusat NOW bersama-sama dengan para wartawan mengulas skandal pembelian hartanah oleh MARA Inc. -Astro AWANI/Sathesh Raj

Beliau berkata bahawa syarikat di BVI pada dasarnya beroperasi seperti sebuah syarikat mafia yang bermakna segala maklumat kewangan dan operasi syarikat itu dilindungi dan dirahsiakan sepenuhnya.

Isu-isu ketelusan dan kebertanggungjawaban boleh dipersoalkan.

BACA: Pembelian hartanah di Melbourne ikut prosedur - Shafie Apdal

"Mengapakah pembelian sesebuah hartanah kerajaan menjadi satu rahsia? Kita perlu tahu.

"Walaupun mereka betul-betul berniat untuk membuat pelaburan di Australia, mengapa mereka tidak mempunyai sebuah sahaja syarikat Australia yang menguruskan kesemua urusan pembelian?

"Mengapa pembelian hartanah ini distrukturkan untuk menyembunyikan maklumat dengan menggunakan beberapa lapisan syarikat yang didaftarkan di negara yang berbeza untuk memisahkan pemilikan harta oleh MARA Inc?

"Mengapa misalnya MARA Inc dan Australia Pty tidak memegang kesemua syarikat-syarikat ini?

"Jika prosedur kerajaan mencukupi maka itu adalah antara soalan yang akan ditanya kerana jika ada sesuatu yang tidak kena akan ada seseorang untuk bertanggungjawab,"katanya.

Menurut dokumen baru itu lagi, pegawai MARA termasuk Tan Sri Anuar Musa turut hadir di Melbourne, Australia dan sepatutnya Anuar telah maklum tentang tentang perkara yang berlaku.

National Oversight & Whistleblowers Centre
Rafizi Ramli berkata daripada dokumen yang diperolehi, National Oversight & Whistleblowers (NOW) akan mendedahkan beberapa perkara lagi tentang kepincangan pelaburan hartanah yang melibatkan MARA Inc.-Astro AWANI/Sathesh Raj

Beliau juga berkata sedang Anuar turut hadir semasa lawatan itu diiringi oleh Datuk Lan Alani dan diberikan maklumat yang sejak 2014, dia sepatutnya sedia maklum bahawa pembelian hartanah itu bermasalah selepas melihat kepada struktur pegangan MARA Inc.

“Kenapa beliau tidak mengarahkan siasatan yang lebih awal sejak tahun 2014 lagi dan bukannya menunggu sehingga selepas pendedahan oleh akhbar Australia?” Rafizi mengajukan soalan kepada Anuar.

BACA: LPPR yakin SPRM akan siasat pembelian hartanah MARA di Australia secara telus

BACA: Polis Persekutuan Australia lancar serbuan bantu siasatan penipuan hartanah

Dokumen baru itu mempunyai beberapa maklumat penting tentang keseluruhan pelaburan hartanah MARA Inc di Melbourne.

Selain Dudley International House, MARA Inc juga memiliki 746 Swanston Street, 333 Exhibition Street dan 51 Queen Street.

Sebelum ini ,akhbar Australia, The Age melaporkan bahawa seorang pegawai atasan MARA, pegawai kanan dan bekas ahli politik didakwa membelanjakan jutaan ringgit dana kerajaan untuk membeli sebuah blok pangsapuri di Melbourne dalam satu penipuan hartanah.

Akhbar itu mendakwa bahawa 'sekumpulan pegawai kanan Malaysia yang kaya-raya' terlebih bayar A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok pangsapuri tersebut pada 2013.