Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar diminta tidak terus menipu rakyat dengan mendakwa berjaya mengadakan telepersidangan dengan bekas koperal Unit Tindakan Khas (UTK) Polis, Sirul Azhar yang kini berada di Australia.

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Lokman Noor Adam berkata, rakyat tidak seharusnya percaya dengan dakwaan telepersidangan itu kerana Sirul kini berada di dalam tahanan Imigresen.

"Dia (Mahfuz) akhirnya menuduh pihak berkuasa telah menyekat talian telefon untuk mengagalkan telepersidangan tersebut.

"Setelah 45 minit bersandiwara, akhirnya Mahfuz menyerah kalah dan menghentikan sidang media tersebut dan memaklumkan akan membawa ibu Sirul ke Australia pada minggu depan untuk bertemu dengan anaknya," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Lokman mengulas kegagalan Mahfuz selepas percubaan 15 kali menghubungi Sirul dari Pejabat Agung PAS.

Bagaimanapun Mahfuz menjelaskan bahawa pihaknya telah berhubung dengan individu yang diyakini sebagai Sirul itu melalui pesanan ringkas pada pukul 10.40 pagi Isnin.

Tegas Lokman, kini jelas pihak mana yang mengajar dan mengatur gerak perjalanan Sirul sehingga melarikan diri ke Australia.

"Maka tidak hairanlah jika selepas ini Sirul mungkin akan membuat kejutan dengan 'memetik' nama sesiapa yang dia suka demi menyelamatkan nyawanya dan kemungkinan dijanjikan sesuatu oleh Mahfuz sebagai ganjaran.

"Hairan kerana sepanjang kes ini berjalan dan nyawanya berada dihujung tanduk, tidak pula Sirul mendedahkan sebarang nama untuk menyelamatkan diri.

"Jika ada, sudah pasti dia akan menyebutnya. Kenapa sekarang baru hendak sebut selepas berurusan dengan Pakatan Rakyat (PR)," jelasnya.

Oleh tu katanya, Mahfuz diminta segera menghentikan sandiwara yang tidak berkesudahan dan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berani bersumpah apabila difitnah.

"Sepatutnya Mahfuz sebagai pemimpin semua parti yang mendakwa sebuah parti Islam mempertahankan Najib yang berani bersumpah dengan cara Islam bila difitnah.

"Namun malangnya Mahfuz lebih rela memilih untuk bersetuju dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak berani melafazkan sumpah dan kini telah jelas disabitkan atas tuduhan liwat," ujarnya.