Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy berkata penyebaran video yang tular berhubung kenyataan kontroversinya mengenai berlakunya pencabulan hak asasi di Malaysia merupakan sedutan video 10 tahun lepas.

Katanya, beliau telah diwawancara oleh sebuah stesen TV Belanda selepas 'ledakan' perhimpunan Hindraf pada November 2007.

"Sesetengah penunjuk perasaan didakwa. Saya sendiri telah dipenjarakan dan diseksa. Peguam-peguam perhimpunan itu dari Hindraf ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan pasport antarabangsa saya dibatalkan oleh kerajaan ketika saya berada di ibu pejabat PBB di Geneva, membuat representasi mengenai nasib masyarakat India," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, untuk menyatakannya dengan jelas, kaum India jatuh ke dalam keadaan putus asa dan segala-galanya mengenai India adalah "haram" ketika UMNO memerintah.

"Dasar-dasar oleh kerajaan UMNO ketika itu telah menghalang majoriti masyarakat India untuk 'menyertai' pembangunan arus perdana," katanya.

Dalam pada itu katanya, beliau secara peribadi menjelaskan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung aktiviti-aktiviti beliau dahulu dan keadaan sebenar masyarakat India.

"Hindraf menyokong kepimpinan Tun sebelum PRU14 dan menggerakkan sokongan kepada kerajaan kini untuk memastikan rejim UMNO dapat dikalahkan," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, pentadbirannya kini telah bekerjasama dengan rakan Kabinet yang lain untuk memastikan layanan yang adil untuk masyarakat India dan semua minoriti.

"Kerajaan hari itu komited untuk menerapkan prinsip-prinsip demokratik untuk memastikan semua rakyatnya dilayan dengan adil dan saksama," katanya.

BACA: Moorthy penipu besar, pengkhianat negara - Dr MAZA

BACA: Dakwaan ICERD hapus Perkara 153 Perlembagaan satu pembohongan - Waytha Moorthy