Jabatan Peguam Negara akan menentukan tindakan sewajarnya terhadap dua warga Australia yang ditahan selepas merempuh kawalan keselamatan kerana cuba menemu bual perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, malam tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, identiti kedua-dua mereka yang mendakwa sebagai wartawan Australia Broadcasting Corporation (ABC) itu akan disiasat.

"Saya sahkan dua orang ini ditangkap kerana mereka tidak mengendahkan arahan polis.

"Mereka merempuh kawalan keselamatan Perdana Menteri, saya tidak tahu apa cuba dilakukan tetapi mereka ingkar arahan polis dan kita tahan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di sebuah hotel di Kuching.

Khalid berkata tindakan dua warga Australia itu amat tidak wajar kerana program perdana menteri malam tadi bukannya sesi temu bual atau sidang media.

Malam tadi, Najib menghadiri sesi pemimpin bersama masyarakat di Masjid Darul Ehsan Kampung Haji Baki, Padawan.

Saluran berita Australia ABC mengesahkan wartawannya Linton Besser, 39, dan jurukamera Louis Eroglu, 51 yang terlibat dalam rancangan ABC Four Corners ditahan di Kuching pada malam Sabtu selepas membuat liputan majlis yang dihadiri Najib.

Dua wartawan itu yang berpangkalan di Sydney memasuki negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 Mac lepas.

Mereka tiba di Kuching pada Sabtu dengan alasan membuat liputan lawatan perdana menteri ke Sarawak.