Jabatan Perhutanan Negeri Pahang sedang memantau rapi aktiviti pengeluaran balak di Kampung Janda Baik bagi memberi laluan kepada projek pembinaan grid elektrik dari Bentong Selatan ke Lenggeng.

Malah, pengarahnya Datuk Mohd Paiz Kamaruzaman memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya kontraktor dilantik tidak mematuhi peraturan ditetapkan sehingga menyebabkan kerosakan kepada alam sekitar.

Ujar beliau, buat masa ini hanya kerja-kerja awal seperti pembersihan jalan dan matau sedang dijalankan sekali gus menafikan berlakunya pembalakan secara berleluasa di Janda Baik seperti didakwa sebelum ini.


"Dakwaan pembalak mengambil balak di luar kawasan tidak adalah benar. Buat masa ini kerja-kerja membina rumah kongsi dan pembinaan jalan sedang dilakukan dan pihak Jabatan Perhutanan sedang memantau kerja-kerja itu.

"Bagi pihak Jabatan Perhutanan soal berlaku penebangan seperti mana didakwa itu adalah tidak benar," katanya kepada Astro AWANI.

Ujar beliau, kerja-kerja penebangan pokok dan pengeluaran kayu hanya akan dibenarkan selepas laporan impak alam sekitar oleh pihak TNB disediakan.

Hasil sesi konsultasi bersama pihak berkepentingan termasuk penduduk kampung, pelan berkenaan telah dipinda bagi mengelak daripada mengganggu Air Terjun Tampik.

"Kami juga mendapati terdapat beberapa sungai yang berhampiran dan pihak Jabatan Perhutanan telah mengadakan zon pemampan seluas 20 meter di kiri dan kanan sungai dan kami akan sentiasa memantau aktiviti mengeluarkan kayu di kawasan jajaran berkenaan," katanya.

Sebelum ini, Astro AWANI dimaklumkan bahawa projek pembinaan grid elektrik yang bakal merentasi beberapa sungai utama seperti Sungai Benus, Sungai Chemperoh dan Air Terjun Tampik.

Mohd Paiz turut memberi jaminan bahawa sebahagian besar daripada laluan grid sepanjang 11 kilometer itu melibatkan kawasan bekas teroka yang tidak mempunyai kayu-kayan bernilai tinggi.

"Kita lebih tumpu kepada bahagian yang tidak memberi kesan ketara kepada alam sekitar. Ia adalah sempadan Lenjeng dan kawasan pembalakan. Ini adalah kawasan teroka lama yang kebanyakan kayu tidak begitu banyak, kebanyakan hanya pohon dan rumpun-rumpun.

Ditanya mengenai jajaran yang melencong ke dalam kawasan Hutan Simpan Janda Baik dan bukan merentasi terus Kampung Janda Baik, ujar beliau keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan keadaan topografi yang menyukarkan jajaran sedemikian.

"Pihak TNB telah meneliti jajaran dan sekiranya laluan dibuat secara menerus, ia akan memotong kecerunan yang tinggi dan melalui beratus buah rumah di kawasan berkenaan."

"Memandangkan ini adalah pelan grid kebangsaan untuk kesejahteraan rakyat, Jabatan Perhutanan terpaksa akur dan seboleh-bolehnya meminta TNB agar jajaran itu mengambil kira topografi dan kecerunan," katanya.

Lesen pembalakan telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri Pahang bagi projek penyambungan grid meliputi 54.91 hektar termasuk hutan simpan kekal dan hutan tanah kerajaan.

Sebelum ini, penduduk kampung janda baik membantah aktiviti pembalakan yang didakwa bakal mencemari sungai yang merupakan sumber air utama penduduk, selain turut menjejaskan sektor eko-pelancongan.