Laluan alternatif menggunakan jalan lama Persekutuan, Kuala Lumpur-Bentong dibuka kepada kenderaan bermula 11 pagi ini.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ini merupakan laluan alternatif kedua disediakan kepada orang ramai berikutan penutupan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak akibat banjir lumpur sejak semalam.

"Laluan alternatif kedua iaitu daripada Bentong ke Kuala Lumpur dengan menggunakan jalan lama Persekutuan FT 068 (KL-Bentong).

"Kenderaan daripada Persimpangan Bertingkat Bentong boleh menggunakan laluan alternatif berkenaan untuk menuju ke Kuala Lumpur, manakala bagi kenderaan dari Kuala Lumpur pula perlu melalui jalan gombak menuju ke Jalan Bentong lama," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, jalan itu hanya dibuka waktu siang sahaja iaitu daripada jam 7 pagi hingga 6 petang buat sementara.

Ia berikutan jalan tersebut turut mengalami beberapa hakisan dan masih di bawah pemantauan JKR Daerah Bentong, bersama syarikat konsesi.

"Ia hanya boleh dilalui oleh kenderaan ringan berikutan laluan yang terhad, manakala kenderaan berat perlu menggunakan laluan alternatif lain.

"Jalan itu akan ditutup semula kepada semua kenderaan sebaik sahaja Lebuhraya Karak dibuka semula bagi membolehkan kerja-kerja siasatan cerun dijalankan." katanya.

Menurut kenyataan itu, semua pengguna jalan berkenaan perlu mematuhi papan-papan tanda keselamatan dan memandu dengan berhati-hati kerana terdapat bahagian-bahagian tertentu diselaputi lumpur dan berkemungkinan licin disebabkan oleh musim hujan sekarang.

Pengguna juga perlu berhati-hati sekiranya ternampak tanda-tanda berlakunya hakisan di lereng-lereng bukit, khususnya semasa waktu hujan.

FOTO: Banjir lumpur di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak


Jentera dan kakitangan JKR serta konsesi yang terlibat dengan kerja-kerja pembersihan berada di laluan di waktu siang dari semasa kesemasa bagi memberi bantuan sekiranya diperlukan.

FOTO: Kesan akibat banjir lumpur di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak


Sementara itu, ANIH Berhad dalam satu kenyataan berkata pihaknya akan bina penghadang konkrit di KM52.4 Lebuhraya KL-Karak yang terjejas akibat banjir lumpur tersebut.

Orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Gerakan JKR di talian 03-26107727