Pihak pengurusan sekolah diingatkan agar mematuhi Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan tidak mengubah atau meminda lagu Kebangsaan Negaraku dalam apa-apa bentuk semasa melaksanakannya dalam mana-mana acara rasmi sekolah.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin berkata, pihak sekolah perlu sentiasa menggunakan kebijaksanaan dalam melaksanakan perkara-perkara asas terhadap lambang-lambang negara.

Ini, katanya, termasuk lagu kebangsaan Negaraku ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah agar tidak disalah anggap mana-mana pihak.

Mengenai penularan video murid sekolah menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku dalam bahasa Mandarin, Amin berkata hasil siasatan mendapati ia berlaku ketika sesi PdP dengan tujuan memberi kefahaman terhadap maksud, tujuan dan adab semasa menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku.

"Ia tidak dilakukan semasa mana-mana acara rasmi di sekolah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Video berdurasi satu minit 23 saat yang menunjukkan murid menyanyikan lagu Negaraku dalam Bahasa Mandarin itu didakwa dirakam pada 26 Sept, 2018 di sebuah sekolah di Seremban, Negeri Sembilan.

-- BERNAMA