Datuk Muhammad Ibrahim menyifatkan pelantikannya sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai peluang bagi beliau menyumbang kepada negara.

Beliau berkata kestabilan sistem kewangan dan ekonomi negara merupakan keutamaannya buat masa kini.

"Adalah penting untuk kita sentiasa memastikan kestabilan sistem kewangan negara dan ekonomi kita.

“Saya juga mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Kerajaan dan BNM atas kepercayaan yang diberi untuk menggalas tugas ini," kata Muhammad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sejurus pelancaran galeri Chang Fee Ming di Sasana Kijang di sini, hari ini.

Muhammad juga turut mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Zeti Akhtar Aziz atas kepimpinan mantapnya sebagai Gabenor BNM sejak 16 tahun lalu dan 35 tahun berkhidmat bersama bank pusat.

Zeti akan bersara pada akhir April nanti.

Pelantikan Muhammad sebagai Gabenor BNM yang kelapan berkuat kuasa 1 Mei ini.

Kontrak Muhammad bertempoh lima tahun selepas mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Pelantikan beliau telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan, menerusi satu kenyataan media hari ini.

Muhammad yang menyertai bank pusat itu pada 1984 dan dilantik sebagai Timbalan Gabenor pada Jun 2010.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana daripada Harvard University, Ijazah Perakaunan daripada Universiti Malaya dan diploma lepasan ijazah dalam Perbankan dan Kewangan Islam daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Selama 32 tahun bersama dengan bank pusat, beliau berkhidmat dalam banyak bahagian termasuk peraturan dan pengawalseliaan bank, perancangan strategik, sistem pembayaran, insurans, perbankan luar pesisir, perbendaharaan dan pasaran kewangan.

Sebelum itu Muhammad juga pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Danamodal Nasional Bhd dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Sekuriti.

Ketika ini beliau merupakan Pengerusi Lembaga Pembangunan Profesional Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Pengarah Agensi Akreditasi Kewangan, Pengarah Bebas Petronas dan ahli lembaga Kumpulan Wang Persaraan.