Jawatankuasa berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang ditubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan ditugaskan untuk menyelaraskan siasatan melintasi sektor bagi memastikan pelaksanaan undang-undang yang adil lagi saksama dan menasihatkan majlis berkenaan dengan sewajarnya.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri berkata Jawatankuasa 1MDB akan dibantu oleh pasukan petugas khas siasatan yang baru ditubuhkan yang melaporkan terus kepada jawatankuasa berkenaan.

"Semua aktiviti siasatan akan dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan di bawah bidang kuasa yang diberikan kepada mereka.

"Tumpuan utama ialah untuk memastikan Malaysia dapat mensabitkan semua salah laku berkaitan 1MDB dan memaksimumkan perolehan semula semua aset yang dapat dikesan berkaitan 1MDB," kata kenyataan itu.

Sementara itu, pasukan petugas itu diketuai bersama oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, dan bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Bador.

Jawatankuasa berkenaan dan pasukan petugas khas telah mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan semalam untuk memberi maklumat terkini mengenai strategi operasi.

-- BERNAMA