Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi merupakan pemimpin DAP yang tidak hipokrit dan menunjukkan wajah sebenar parti itu.

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Lokman Noor Adam berkata, ia juga tidak menghairankan kerana DAP sendiri penuh dengan sejarah yang membenci Melayu serta agama Islam.

Katanya, ungkapan ‘Adios Haron Din. Let there be peace’ sekali gus membuktikan Jeff mempunyai persepsi buruk terhadap Mursyidul Am PAS itu.

"Apa yang diungkap oleh Jeff adalah kerana sikapnya yang tidak boleh hipoktit.

"Inilah sifat pemimpin DAP sejati, mereka membenci Islam, mereka benci Melayu, mereka hendak hapuskan hak istimewa orang Melayu dan orang-orang yang menegakkan Islam ini sudah secara semula menjadi musuh mereka. Ini menjadi punca Jeff melepaskan kata-kata ini.

"Bagi saya benda ini tidak ada apa yang perlu kita rasa terkejut dan sebagainya. Ini biasa diungkap pemimpin DAP yang bersikap anti Islam dan anti Melayu. Dahulu mendiang Karpal Singh juga kata langkah mayat aku dahulu," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.

Lokman mengulas reaksi Jeff berhubung pemergian Haron melalui Twitter yang berbunyi ‘Adios Harun Din. Let there be peace’.

Bagaimanapun, semakan di Twitter milik Jeff mendapati komen tersebut telah dipadamkan, namun cetakan skrin boleh dilihat melalui laman Facebook milik pengendali blog LSS Report, Lim Sian See.

Dalam pada itu tegas Lokman, DAP kini perlu melakukan sesuatu untuk mendapatkan sokongan orang Melayu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

"Walaupun kita tahu mereka sedar tidak boleh menang tanpa sokongan Melayu. Sebelum ini mereka mendapat sokongan Melayu di dalam Pas.

"Sekarang mereka tiada sokongan Pas, suka atau tidak mereka kena bersendirian dan tidak boleh berharap kepada Amanah.

"Ada sesetengah pemimpin mereka menggunakan pendekatan dalam memujuk dan mendekati Melayu tetapi semuanya hipokrit. Sifat sebenar DAP adalah apa yang diungkapkan Jeff.

"Saya nampak hari ini mereka boleh bertahan kerana mereka pertahankan kebiadaban kepada Melayu dan Islam, ini apa yang berlaku sekarang," katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng menyatakan kekesalan dengan kenyataan Jeff yang mengundang kemarahan banyak pihak.

Kenyataan Jeff itu juga jelas Guan Eng tidak mewakili DAP.