Jenazah Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Ismail selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada Selasa.

Jenazah bekas timbalan ketua polis negara (KPN) itu sebelum itu disolatkan di Masjid Bukit Aman sebelum dikebumikan pada pukul 4.40 petang.

Allahyarham meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Assunta, Petaling Jaya pagi Selasa, selepas dirawat selama lima minggu di hospital tersebut.

Anak ketiga Allahyarham, Rosli Abdul Rahman, 60 tahun, berkata ayahnya meninggal dunia sekitar pukul 8.15 pagi di sisi keluarganya.

Rosli menabur bunga di atas pusara ayahnya. - BERNAMA
Jelasnya, sebelum itu Allahyarham masih boleh bercakap dan dikatakan sepatutnya keluar dari hospital esok.

"(Meninggal dunia) Pagi tadi, 8.15 pagi di hospital. Dia ada water retention, sepatutnya hari Khamis ini dah boleh balik. Tapi Allah lebih sayang dia, dah sampai masa…" kata Rosli ketika ditemui.

Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi (kiri) hadir solat jenazah Allahyarham Abdul Rahman di Masjid Bukit Aman. - BERNAMA
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat pasukannya.

Allahyarham bersara pada Disember 1985 namun tetap meneruskan sumbangan dan kepakarannya dalam bidang siasatan jenayah.

Menurut Mohamad Fuzi, selain bersara sebagai bekas KPN, Allahyarham sebelum ini pernah menjadi pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, ketua polis negeri dan beberapa jawatan penting lain.

"Sumbangan jasa beliau dalam PDRM amat besar. Selepas bersara pun dia masih aktif dengan aktiviti-aktiviti PDRM, termasuk selalu datang ke Bukit Aman untuk memberi pandangan, idea dan berkongsi pengalaman bersama generasi muda PDRM, termasuk diri saya sendiri.

"Saya mengucapkan takziah kepada seluruh warga PDRM atas kehilangan seorang tokoh yang banyak berjasa kepada PDRM dan negara pada satu ketika dahulu," tambahnya.

Turut hadir, bekas KPN, Tan Sri Ismail Omar.