Jenazah pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, yang terlibat dalam kemalangan di Pattani pagi ini, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kedemit di sini, malam ini.

Allahyarham Faziani, 40 tahun, dikebumikan sekitar jam 10.30 malam berdekatan kubur emak saudara dan ayahnya, Rohban Ahmad Syamsir Ahmad, yang meninggal dunia pada April 2010.

Terdahulu, jenazah disolatkan lebih 400 orang termasuk pelajar pondok dan sanak saudara, di kediaman milik arwah di Kampung Paloh, di sini.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan apabila anak sulung serta adiknya turut menurunkan jenazah ke liang lahad.

Anak perempuannya, Irdina Hakim Jasman, 16 tahun, pengsan di tanah perkuburan disebabkan terlalu sebak sewaktu jenazah diturunkan ke liang lahad.

Suami arwah, Ahmad Shah menenangkan salah seorang anaknya di rumahnya di Kampung Paloh hari ini. --fotoBERNAMA

Lebih 1,000 orang menghadiri pengebumian Faziani termasuk pelakon Fasha Sandha.

BACA: 'Sedekahkan doa buat mami saya, Faziani Rohban' - Anak pengasas Dnars Skincare

Sebelumnya, jenazah beliau dibawa pulang dari Hospital Pattani dan tiba di kediamannya sekitar jam 6 petang tadi.

Faziani meninggal dunia manakala suaminya Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42 tahun, cedera selepas terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 10.30 pagi.

BACA: 'Mama dalam perjalanan untuk sampaikan sumbangan zakat' - Anak Faziani Rohban

Ibu kepada lapan anak itu maut di lokasi kejadian akibat cedera parah dan tersepit di bahagian penumpang hadapan, manakala suaminya cedera ringan.

Mereka sedang dalam perjalanan ke pondok pengajian di Pattani untuk menyampaikan sumbangan sewaktu kejadian itu berlaku.