Jenazah L/Kpl Mohamad Faiz sekeluarga dikebumi dalam satu liang lahad

Jenazah L/Kpl Mohamad Faiz sekeluarga dikebumi dalam satu liang lahad
Jenazah Mohamad Faiz, Nik Iedayu dan Mohamad Faqih Irsyad yang maut dalam kemalangan dekat Kampung Salak Stesyen, Sungai Siput, pada Khamis tiba di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu, Kota Bharu, untuk dikebumikan, 14 Feb, 2020. --fotoBERNAMA
KOTA BHARU: Jenazah tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan di KM37, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, dekat Kampung Salak Stesyen, Sungai Siput, Perak pada Khamis malam, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu, petang Jumaat.

Lebih 200 saudara dan kenalan kepada anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, Allahyarham L/Kpl Mohamad Faiz Bukhari, 28, isterinya, Nik Iedayu Nik Hassan, 30, dan anak bongsu mereka, Mohamad Faqih Irsyad, 16 bulan, mengiringi ketiga-tiga jenazah yang dikebumikan kira-kira pukul 6 petang semalam.

Sementara itu, jenazah adik kepada Nik Iedayu iaitu Nik Ifieka, 28, yang turut maut dalam kemalangan itu dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Jejulok, Bachok.

Terdahulu, jenazah tiga sekeluarga berkenaan yang dibawa pulang dengan tiga van jenazah tiba di rumah keluarga Allahyarham Mohamad Faiz di Kampung Jambu, Panji di sini, kira-kira 4.50 petang dari Hospital Sungai Siput, Perak sebelum disembahyangkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka Ahmad Fathan Mahmood mengimamkan solat jenazah berkenaan.



BACA: 4 sekeluarga maut nahas kereta bertembung treler

BACA: Empat sekeluarga maut nahas: Pemandu treler direman empat hari 

Dalam kemalangan kira-kira pukul 10.20 malam itu, Mohamad Faiz, isterinya Nik Iedayu dan anak bongsu mereka, Mohamad Faqih Irsyad, yang menaiki kereta Proton Saga BLM maut akibat pelanggaran dengan sebuah treler muatan bahan binaan yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Kangsar yang terbabas sebelum memasuki jalan bertentangan di lokasi kejadian.

Anak sulung pasangan itu, Mohamad Fariz Iskandar, 3, cedera parah dan masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

-- BERNAMA