Jenazah Mejar Mohd Zahir selamat dikebumikan

Jenazah Mejar Mohd Zahir selamat dikebumikan
Ratusan pegawai dan anggota tentera, ahli keluarga, saudara mara serta rakan hadir di Tanah Perkuburan Islam Tambun hari ini bagi memberi penghormatan terakhir kepada Mejar Mohd Zahir. - Astro AWANI/AIDA AZIZ
IPOH: Jenazah Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, di sini, mengikut istiadat pengkebumian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kira-kira jam 8.45 pagi ini.

Allahyarham, 36 tahun, pegawai komando daripada Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia akibat terkena tembakan dalam demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

Mohd Zahir yang juga anak kepada pelakon dan pelawak terkenal, AR Badul, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth pada jam 9.20 pagi semalam.


Ratusan pegawai dan anggota tentera, ahli keluarga, saudara mara serta rakan hadir di tanah perkuburan tersebut hari ini bagi memberi penghormatan terakhir kepada arwah.

BACA: Penghormatan terakhir dan solat jenazah buat Allahyarham Mohd Zahir

Terdahulu, jenazah tiba di rumah ibu mentuanya di Taman Perpaduan, Ulu Kinta, di sini, kira-kira jam 5.45 pagi, disusuli majlis bacaan tahlil dan surah Yasin.

Foto Astro AWANI/AIDA AZIZ

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut menziarah jenazah Allahyarham jam 6.45 pagi dan meluangkan masa kira-kira 10 minit berbual dengan waris Allahyarham.



BACA: MB Perak zahir ucapan takziah kepada keluarga Mejar Mohd Zahir

Isteri Mohd Zahir, Nour Shafinar (kanan) turut kelihatan di Tanah Perkuburan Islam Tambun pagi ini. Astro AWANI/AIDA AZIZ

Suasana mendung dan gerimis selepas hujan lebat awal pagi tadi, mengiringi pengebumian jenazah yang disembahyangkan di kediaman ibu mentuanya dengan diimamkan Pegawai Staf Agama, Markas 2 Briged, Lt Kol Titan Abd Wahap.

Allahyarham, yang bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka dan berasal dari Kuala Lumpur, meninggalkan balu, Nour Shafinar Harun, 31 tahun, dan lima orang anak berusia antara lima bulan dan sembilan tahun.


Foto Astro AWANI/AIDA AZIZ








Tag: Angkatan Tentera Malaysia, meninggal dunia, tentera, tembakan, jenazah, kebumi, anak AR Badul, Mejar Mohd Zahir Armaya, Mohd Zahir Armaya, Tanah Perkuburan Islam Tambun, Kem Lok Kawi, Ahmad Faizal Azumu, Nour Shafinar Harun, komando



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.