Jenazah Muhammad Adib Mohd Kassim akan dikebumikan dengan penuh istiadat kebombaan.

Penghormatan itu diberikan terhadap anggota bomba berusia 24 tahun itu selepas Allahyarham meninggal dunia pada Isnin malam.

Segala persiapan menyambut kepulangan jenazah di kampung halamannya dekat Tebengau, Kuala Kedah, telah dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Kedah.

Menurut Pemangku Pengarah Bomba Kedah, Mohd Zahar Abdullah, jenazah Muhammad Adib dijangka tiba di rumahnya pada pukul 7 pagi Selasa selepas selesai urusan bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

BACA: Jenazah Muhammad Adib dibedah siasat di HKL

Kerja-kerja mengorek liang telah dilakukan anggota bomba malam tadi sebaik mengetahui berita kematian Muhammad Adib.

"Ratusan anggota bomba dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang telah diarahkan hadir bersama-sama pegawai kanan dalam penghormatan terakhir buat Muhammad Adib.

"Mereka akan memakai pakaian lengkap serta songkok Bomba," kata Mohd Zahar selepas selesai mesyuarat tergempar bersama 25 pegawai bomba di Ibu Pejabat JBPM Kedah di sini, lewat Isnin malam.

Katanya, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah turut dijangka akan berangkat menziarahi jenazah Muhammad Adib bagi memberi penghormatan terakhir.

Ketua Pengarah JPBM, Datuk Mohamad Hamdan Wahid dijangka akan mengiringi Sultan Kedah.

BACA: Polis bekerja keras untuk bawa penjenayah ke muka pengadilan - Waytha Moorthy

Kata Mohd Zahar, seramai 200 anggota JPBM Kedah telah dikerahkan bagi melakukan persiapan dan pengebumian jenazah sehingga selesai.

Tambahnya, JBPM Kedah turut melancarkan tabung kilat untuk disumbang kepada keluarga Allahyarham.


Muhammad Adib disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 Isnin malam selepas tiga minggu bertarung nyawa akibat cedera parah dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield pada 27 Nov lalu.

Pada Ahad, IJN melalui satu kenyataan memaklumkan kesihatan Muhammad Adib kembali merosot apabila paru-parunya gagal berfungsi.

Pihak IJN mengambil keputusan memasukkan semula sistem Veno-Venous ECMO pada jam 9 malam Isnin untuk membantu keperluan sistem pernafasannya.