Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) menyerahkan sebanyak 200,000 topeng muka kepada seluruh sekolah di Sarawak sebagai persediaan kepada murid yang mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Menurut Jurucakap JPBN, Mejar (PA) Ismail Mahedin, ini susulan negeri berkenaan dilanda jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat kepada tidak sihat hari ini.

Terdahulu pagi ini, Kuching mencatatkan IPU sangat tidak sihat pada bacaan 212 setakat jam 11 pagi.

"Penyerahan tersebut dibuat oleh wakil rasmi JPBN Justine Jok kepada Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Abang Mat Ali Abang Masagus.

"Topeng muka tersebut akan diedarkan kepada semua sekolah di Sarawak secara berperingkat sebagai langkah keselamatan murid," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi hari ini.

UPSR 2019 dijalankan mulai 4 hingga 12 September di 8,076 pusat peperiksaan di seluruh negara.

BACA: Jerebu Sarawak: Kuching catat bacaan IPU sangat tidak sihat