Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah mendapatkan bantuan polis untuk menjejaki pembunuh seekor gajah Pygmy yang ditemukan mati di Sungai Udin Dumpas di Kalabakan, Tawau.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata pegawai di jabatan itu telah mengadakan mesyuarat dengan polis semalam dalam usaha memburu individu yang terlibat membunuh gajah itu dengan kejam.

"Pembunuh gajah ini yang terlibat dianggarkan membabitkan empat orang. Ia perbuatan jahat... sepatutnya hargai hidupan liar bukan bunuh.

"Saya berharap Renjer JHL dan polis dapat tangkap mereka yang terlibat secepat mungkin," katanya ketika ditemui pemberita Malaysia di sini, malam tadi.

Beliau berada di Tarakan, Kalimantan Utara, Indonesia untuk mengikuti lawatan kerja Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

BACA: Gajah pygmy dibunuh kejam, 70 peluru ditemui dalam badan

BACA: KATS pandang serius pembunuhan kejam gajah pygmy di Kalabakan

Gajah tersebut ditemukan mati oleh pemancing pada Khamis lepas dalam keadaan terduduk di sungai itu.

Liew, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata beliau berasa sedih kerana sungguhpun kini hanya terdapat kira-kira 1,500 ekor gajah di Sabah tetapi ada pihak masih membunuh gajah dengan kejam.

"Berdasarkan peluru dijumpai di badan gajah itu dengan 70 kesan tembakan, senjata api digunakan oleh pembunuh adalah mesingan semi automatik," katanya.

Beliau berharap pelaku dalam kejadian itu dapat ditangkap untuk diambil tindakan undang-undang sewajarnya disebabkan gajah merupakan hidupan liar dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual 1 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.

BACA: Gajah pygmy dibunuh kejam: Polis lancar Operasi Khazanah buru suspek

BACA: WWF Malaysia kecam pembunuhan kejam gajah pygmy

Katanya biarpun ketika ini tidak berada di Sabah, beliau sentiasa berhubung dengan Pengarah JHL Augustine Tuuga untuk mendapatkan perkembangan terkini.

Dalam pada itu, beliau berharap akan ada pihak tampil memberikan maklumat bagi membantu usaha menjejaki individu terlibat terutama selepas ganjaran dinaikkan kepada RM30,000 kepada pemberi maklumat.

Beliau turut menolak kemungkinan kejadian ini membabitkan sindiket.

-- BERNAMA