Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

"Jika benar, pemecatan saya dari UMNO tidak sah" - Lokman Adam

"Jika benar, pemecatan saya dari UMNO tidak sah" - Lokman Adam
Lokman Adam berkata, pemecatan dari UMNO tidak akan mengubah pendiriannya menentang Pakatan Harapan dan tali barut dalam UMNO. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dimaklumkan dipecat dari parti UMNO, Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti berkenaan, Datuk Lokman Noor Adam menerimanya dengan penuh redha.

Pemecatan itu, bagaimanapun, tegas Lokman, tidak akan mengubah pendiriannya menentang Pakatan Harapan (PH) dan tali barut dalam UMNO.

Dalam masa sama, Lokman berkata, beliau akan merujuk kepada peguamnya berhubung tindakan yang akan diambil susulan pemecatan itu.

Ini kerana, kata Lokman, beliau hanya dimaklumkan berita pemecatan itu oleh seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang menghadiri mesyuarat berkenaan.
"Pemecatan saya tidak sah. Saya akan rujuk pada peguam," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi sebentar tadi.

Lokman yang kini berada di Jepun atas urusan peribadi menegaskan, sekalipun dipecat dari UMNO, beliau kini bebas mengkritik parti Melayu itu.
Kata Lokman, selepas ini beliau akan tetap setia bersama UMNO dan meneruskan perjuangannya menerusi  badan bukan kerajaan, Laskar Siber Malaysia.

"Saya reda dengan tindakan (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid (Hamidi) ini, namun saya tetap setia kepada UMNO,” katanya dalam satu kenyataan.

BACA: MT UMNO tidak bincang isu Pakatan Nasional


Bagaimanapun, sehingga kini, UMNO belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai pemecatan Lokman.

Lokman menjadi tumpuan selepas mendedahkan rakaman audio Ahmad Zahid yang mencadangkan UMNO menyertai kerjasama Pakatan Nasional bersama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Cadangan Ahmad Zahid itu disuarakan susulan keputusan yang dibuat oleh parti Pas untuk memberi sokongan dalam bentuk kerjasama politik dengan Dr Mahathir.

Terdahulu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, isu bentuk tindakan ke atas Lokman akan diteliti oleh Lembaga Disiplin parti.

“Isu itu ada dibincang, kita (Majlis Tertinggi) akan serah pada Lembaga Displin untuk memutuskan,” kata Bung Mokhtar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah kepada wartawan selepas mesyuarat MT UMNO yang berlangsung selama empat jam di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Jumaat.


Tag: Lokman Adam dipecat dari UMNO, Ahli Majlis Kerja Tertinggi, UMNO, Lembaga Disiplin UMNO, Zahid Hamidi



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.