Jika perkara itu berfakta, tak boleh dianggap 'menghina' Raja - Tun Mahathir

Jika perkara itu berfakta, tak boleh dianggap 'menghina' Raja - Tun Mahathir
Tun Mahathir berkata, semua pihak harus sedar Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan kebebasan bersuara. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Ada keperluan untuk melihat semula perkataan atau perbuatan yang dianggap ‘menghina’, terutama sekali terhadap institusi Diraja, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, ini penting bagi memastikan orang tidak didakwa sewenang-wenangnya, sekaligus memastikan prinsip keadilan tidak disalahgunakan.

“Pada pendapat saya pihak enforcement (penguatkuasaan), tidak faham  apa yang dianggap sebagai menghina, jadi kita perlu spell out (perjelaskan) apa sebenarnya pebuatan atau perkataan yang dianggap ‘menghina’,” katanya kepada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKMMAR) 1/2019, di Putrajaya, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan tiga individu yang dikatakan telah mengeluar kenyataan berunsur ‘penghinaan’ susulan perletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang Dipertuan Agong pada minggu lepas.

BACA: Tiga termasuk Eric ditahan polis kerana hina Agong

Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ketiga-tiga individu tersebut telah ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Mengulas lanjut, Tun Mahathir berkata, semua pihak harus sedar Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan kebebasan bersuara.

“Dan kebebasan bersuara ini, kalau dia bercakap dengan satu perkara yang factual, dia tidak boleh disalahkan.

“Sebaliknya kalau kita tutup mulut semua orang, sehingga jenayah berlaku pun tidak boleh sebut, jadi tak ada keadilan di situ,” katanya lagi.

Ditanya mengenai kenyataan Menteri JPM VK Liew, mengenai keperluan wujudkan akta baharu atau melihat akta sedia ada berkaitan perlindungan institusi Diraja, Tun Mahathir mengulangi, perlu ada usaha untuk kenalpasti apa yang dimaksudkan dengan konteks 'menghina'.


Tag: Mahathir Mohamad, Perdana Menteri, Malaysia, Ketua Polis Negara, akta hasutan, jenayah, kabinet, Institusi Diraja


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.