Kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan berhubung penjualan vape atau rokok elektronik di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata adalah masih terlalu awal untuk menyatakan penjualan rokok elektronik ini adalah haram.

"Jika vape ini diharamkan, bagaimana pula dengan tembakau? Percanggahan ini akan menimbulkan masalah," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen pagi ini.

Oleh itu, kata Dr Hilmi, satu rang undang-undang baru mengenai pengawalan rokok elektronik, shisha dan tembakau kini berada di peringkat kajian.

Dr Hilmi berkata tiada tempoh masa yang ditetapkan buat masa ini bilakah rang undang-undang itu akan diwujudkan.

INFOGRAFIK: E-Rokok di Malaysia, fakta yang perlu anda tahu

Sebelum ini pelbagai pihak mempersoalkan keselamatan dan penggunaan rokok eletronik itu termasuk dari segi kesihatan.

Antaranya oleh Malaysian Organisation of Vape Entities (MOVE), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang berjaya mengumpul 50,000 tanda tangan daripada pengusaha dan pembeli rokok elektronik atau Vape bagi meminta kerajaan mengawal selia penggunaan produk itu di negara ini.

Sementara minggu lalu orang ramai digemparkan dengan laporan penumpang dan krew penerbangan Malindo Air cemas seketika selepas bateri rokok elektronik milik seorang penumpang terbakar secara tiba-tiba.

Selain itu, Majlis Fatwa Kebangsaan turut memutuskan bahawa rokok elektronik adalah dilarang di dalam Islam (haram).