Kerajaan Negeri Johor menggalakkan setiap pelajar tanpa mengira bidang pendidikan untuk 'mendekatkan diri' dengan bidang penulisan kerana ia satu cabang ilmu di samping mampu menjana pendapatan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, pihaknya bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan untuk mencungkil bakat dalam bidang penulisan.

Sehubungan itu, pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk pertandingan menulis karangan bagi mencungkil bakat terpendam di mana ada sebahagiannya diadakan dengan kerjasama pihak sekolah.

"Kita sememangnya menggalakkan aktiviti yang melibatkan ilmu pengetahuan dalam kalangan pelajar, baik di peringkat sekolah rendah mahupun peringkat menengah agar mereka mampu menguasai bidang penulisan.

"Di peringkat sekolah, pelajar ini sudah mempunyai asas dalam aktiviti penulisan seperti menulis karangan tetapi kita galakkan mereka ini mendalaminya dan mempunyai cita-cita yang tinggi dalam bidang terbabit," katanya kepada pemberita selepas majlis pengisytiharan dan pengiktirafan novelis termuda oleh Malaysia Book of Records (MBOR), kepada Siti Khadijah Abdul Halim, 14, di Sekolah Menengah Sains Batu Pahat, hari ini.

Siti Khadijah, pelajar tingkatan dua sekolah berkenaan yang menghasilkan novel berjudul 'Kenapa Dia?' berkata dia mengambil selama tiga tahun untuk menghasilkan novel itu.

Katanya, novel itu mengisahkan seorang gurunya yang mengalami kanser dan terus tabah mengajar anak muridnya termasuk dirinya.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Sains Batu Pahat, Mohamad Alim Konting berkata, pihaknya turut memberi kerjasama bagi merealisasikan hasrat Siti Khadijah untuk mempunyai novelnya sendiri.

"Novel ini telah dilancarkan sempena sambutan Hari Guru tahun ini dan kami berbangga kerana pengiktirafan berkenaan dan dalam masa yang sama mampu memberikan semangat kepada pelajar lain, sekali gus ianya mampu memartabatkan bahasa," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah DBP Wilayah Selatan Abang Haliman Abang Julai, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Melayu Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Temenggung Ibrahim Dr Maskiah Masrom dan Pengurus MBOR Lee Pooi Leng.

-- BERNAMA