Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bersedia untuk sebarang kemungkinan pengisytiharaan darurat bencana jerebu sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara di Sri Aman melebihi 500.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Mejar Ismail Mahedin daripada Angkatan Pertahanan Awam berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan di kawasan berkenaan dan berhubung dengan pihak jawatankuasa bencana pusat.

"Kalau dia mencapai 500, jawatankuasa bencana pusat akan menasihati perdana menteri untuk mengisytihar darurat bencana jerebu," katanya kepada Bernama.

Sehingga pukul 6.00 petang tadi, Sri Aman telah mencatatkan bacaan IPU 389 berbanding 300 yang dicatatkan pada pukul 2.00 petang mengikut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).

BACA: Jerebu cecah paras bahaya, aktiviti penduduk Sri Aman mula terjejas


Sebagai rekod, darurat bencana jerebu pernah dilaksanakan di Kuching, pada 19 Sept 1997 apabila bacaan IPU mencecah 650, paras 'berbahaya' paling tinggi dalam sejarah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, Khirudin Drahman berkata peningkatan drastik bacaan IPU Sri Aman adalah disebabkan lokasinya yang paling hampir dengan sempadan Kalimantan

Ia, menurutnya diburukkan lagi dengan arah haluan angin yang membawa asap daripada kebakaran hutan di daerah Indonesia berkenaan ke dalam negara, sepertimana ditunjukkan cerapan satelit yang dikongsi Jabatan Alam Sekitar Sarawak.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan ada kebakaran hutan yang berlaku berhampiran Sri Aman, namun ia bukan penyumbang utama kepada peningkatan drastik bacaan IPU berkenaan.

Ini, katanya, termasuk kebakaran hutan sekitar 2.6 hektar (enam ekar) di Taman STC di Sri Aman sendiri dan satu lagi seluas kira-kira 13. 2 hektar (30 ekar) di Betong, berhampiran Sri Aman, yang masing-masing bermula awal pagi semalam.

"Untuk di STC itu kebakaran hutan kita dah dapat kawal, bukan api besar, cuma cuaca kering dan panas di sini, banyak daun-daun kering yang jatuh, tempat sama ini Rabu lepas kita dah padam semua,tapi Sabtu api naik balik bila cuaca panas.

"Di Betong, ini kawasan perladangan, kita tengah minta siasat, sebab tanah ini ada owner," katanya menambah bahawa pihakya cuba mendapatkan sebuah helikopter untuk menjalankan tugas-tugas memadam kebakaran.

-- BERNAMA