Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Keselamatan Jalanraya Malaysia (Miros) perlu berkongsi maklumat dan kajian yang dibuat dalam dan luar negara mengenai had cermin gelap kepada orang ramai.

Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kedua-dua agensi itu perlu menunjukkan statistik yang membuktikan kadar jenayah tiada kaitan dengan penggunaan cermin gelap agar kegusaran orang ramai dapat diatasi.

"Langkah ini penting bagi mengatasi kebimbangan sesetengah pihak mengenai kemungkinan meningkatnya kes jenayah akibat penggunaan cermin gelap ini.

"Banyak pihak melahirkan kebimbangan bahawa penjenayah boleh menyembunyikan diri di tempat duduk belakang kenderaan yang mempunyai cermin gelap manakala mangsa culik mungkin tidak dapat dilihat.

"Semua agensi penguatkuasaan perlu duduk semeja dan berbincang mengenai keputusan had cermin gelap yang baharu serta mencari jalan untuk mengatasi sebarang masalah ekoran dasar ini," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Rabu.

BACA: Tiada lagi had cermin gelap kereta

Pada Selasa, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan penggunaan lapisan filem atau cermin gelap tanpa had dibenarkan pada cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan.

Ia bermakna, cermin berkenaan boleh menggunakan lapisan filem atau cermin gelap hitam sepenuhnya, berbanding peraturan sekarang yang menetapkan kadar ketelusan cahaya tampak pada 30 peratus.

Bagaimanapun keputusan tersebut mendapat reaksi berbeza daripada beberapa pihak termasuk Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Azisman Alias yang mengatakan tindakan itu menyukarkan polis membuat pemeriksaan dan mengesan penumpang di bahagian belakang.