Tutup

'Jumpa dan beredar' taktik elak dikesan polis

'Jumpa dan beredar' taktik elak dikesan polis
Polis berkata kebanyakan mereka cenderung menggunakan motosikal dalam urusan secara 'mobile' itu, dipercayai bagi memudahkan pergerakan. - Gambar hiasan
KUANTAN: 'Jumpa dan beredar' menjadi taktik pengedar dan penagih dadah di daerah ini dalam urusan jual beli dadah bagi mengelakkan diri dikesan polis.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata kebanyakan mereka cenderung menggunakan motosikal dalam urusan secara 'mobile' itu dipercayai bagi memudahkan pergerakan.

"Kita percaya mereka menggunakan taktik ini selepas mendapati polis telah menghidu kegiatan mereka di sarang sekitar daerah ini yang dijadikan tempat mendapatkan bekalan dan melepas gian.

"Bagaimanapun, taktik mereka gagal mengaburi polis dengan kejayaan menahan 79 individu berkaitan kesalahan dadah di sini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, pada Rabu.
BACA: 381 penagih, pengedar dadah ditahan menerusi Op Icebreaker di Johor

Mohamad Noor berkata suspek termasuk dua wanita dan seorang pelajar lelaki yang berusia antara 17 hingga 79 tahun ditahan sepanjang pelaksanaan Op Ice Breaker bermula pagi Ahad lalu dan tamat petang Rabu.

Katanya, operasi tertumpu di kawasan sering dijadikan lokasi penagihan iaitu sekitar Felda Lepar Utara, Jaya Gading, Balok, Semambu, Tanjung Lumpur, Beserah, Taman Tas, Cenderawasih dan sekitar bandar.

"Sepanjang operasi, polis juga merampas 1.12 gram heroin, syabu (1.86 gram) dan ganja (1.76 gram) daripada beberapa suspek. 72 daripada suspek yang ditahan adalah mereka yang didapati positif dadah.
"Tujuh lagi ditahan bagi membantu siasatan memiliki dadah. Semakan juga mendapati 52 suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah," katanya.

Mohamad Noor berkata siasatan bagi kesalahan memiliki dadah dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM20,000 serta sebat tidak lebih tiga kali, jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi kesalahan positif dadah, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000.

-- BERNAMA